TAWAU: Taktik penyeludupan secara kecil-kecilan tetapi berulang akhirnya terbongkar apabila sebuah bot kargo tempatan ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Tawau, tengah hari tadi.
Dalam kejadian jam 12.40 tengah hari itu, bot berkenaan dipintas di 1.5 batu nautika di utara Muara Sungai Aji Kuning ketika bergerak laju menuju ke Pulau Sebatik dalam keadaan mencurigakan.
Pengarah Zon Maritim Tawau, Kepten Maritim Ariffin Ghazali berkata, hasil pemeriksaan menemukan 14 kotak minyak paket bersubsidi dan enam gelen bahan api dianggarkan 120 liter tanpa permit sah.
“Bot itu dikendalikan seorang lelaki tempatan berusia 29 tahun. Pemeriksaan lanjut mendapati juragan berkenaan tidak berdaftar dalam lesen bot digunakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, situasi itu menimbulkan syak berlaku pelanggaran undang-undang berkaitan kawalan bekalan dan perkapalan tempatan.
“Susulan itu, juragan bersama bot serta muatan ditahan dan dibawa ke Jeti Zon Maritim Tawau untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat.
“Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Enakmen Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah (JPDS) 2002,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya turut menyita bot kargo, enjin serta muatan dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM43,000.
Dalam pada itu, Ariffin menegaskan penguatkuasaan akan terus diperkukuh terutama di perairan Tawau yang dikenal pasti sebagai kawasan panas aktiviti penyeludupan.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan jenayah di laut diminta menyalurkannya ke Pusat Operasi Zon Maritim Tawau di talian 089-750116 atau talian kecemasan 999 untuk tindakan segera,” katanya. – Info X