LAHAD DATU: Majlis Serah Terima Tugas Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Daerah Lahad Datu berlangsung di Bilik Gerakan, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu, hari ini.
Majlis itu menyaksikan penyerahan tugas daripada Asisten Superintendan Polis (ASP) Bakar Jasa kepada Inspektor Romi Asparin yang kini memangku jawatan berkenaan, disaksikan Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Dzulbaharin Ismail.
Turut hadir, Timbalan Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Superintendan Jimmy Panyau bersama ketua bahagian, ketua polis balai, pegawai kanan serta anggota polis.
Dalam majlis berkenaan, warga IPD Lahad Datu merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada ASP Bakar Jasa atas khidmat bakti serta komitmen sepanjang bertugas di daerah ini.
Beliau kemudiannya akan menyandang jawatan baharu sebagai Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Penampang.
Pada masa sama, warga IPD Lahad Datu turut mengucapkan tahniah kepada Inspektor Romi Asparin atas pelantikan sebagai Pemangku Ketua BSJN Lahad Datu yang baharu.
Majlis itu mencerminkan kesinambungan kepimpinan dalam memperkukuh usaha membanteras jenayah narkotik di daerah ini. – Info X