KOTA KINABALU: Sabah Oil & Gas Development Corporation Sdn Bhd (SOGDC) pada Isnin memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan beberapa syarikat antarabangsa bagi membangunkan hab tenaga di Sipitang Oil & Gas Industrial Park (SOGIP).
Ia berkaitan kerjasama strategik dan komersial pembangunan hab tenaga di SOGIP yang disasar mampu memperkukuh daya saing Sabah dalam industri minyak dan gas di rantau ini.
Antara MoU itu ialah di antara SOGDC dan ACWA Power, Aboitiz Power Ltd dan WEC, masing-masing merangka kerjasama awal bagi pembangunan projek Hab Tenaga di SOGIP.
Pemeteraian MoU itu disaksikan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor dan Pengerusi SOGDC, Datuk Ir Shahelmey Yahya di Menara Kinabalu, dekat sini.
Ia bersempena kunjungan hormat delegasi SOGDC bersama rakan strategiknya yang diketuai Shahelmey dan turut disertai Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Pengarah Urusan SOGDC, Mohd Azmir Ramli ahli lembaga pengarahnya.

Kunjungan itu pula bersempena cadangan projek kerjasama di antara SOGDC dan EA Gibson, sebagai langkah strategik memperkukuh kedudukan Sabah sebagai hab tenaga serantau.
Hadir sama wakil rakan strategik antarabangsa iaitu Ketua Pegawai Operasi Aboitiz, Anton Perdises; Ketua Pegawai Eksekutif Negara ACWA, Matthew Chandapillai; Pengarah EA Gibson, Owen Bolton; Pengarah Eksekutif WEC, Mathew Lee; Pengarah Eksekutif Green Parrot (Abu Dhabi), Miran Sepich; dan Pengarah Projek Gas Department EA Gibson, Tonci Tokic.
Menurut SOGDC, pembangunan projek hab tenaga di SOGIP merangkumi pembinaan hab penyimpanan dan pengagihan tenaga bersepadu di kawasan seluas kira-kira 275 ekar, termasuk kemudahan penyimpanan gas asli cecair (LNG), ammonia dan hidrogen, selain pembangunan infrastruktur petrokimia serta penjanaan tenaga.
Katanya, sebagai komponen utama projek, kajian kebolehlaksanaan akan dilaksanakan bersama ACWA Power bagi pembinaan loji janakuasa turbin gas kitaran gabungan (CCGT) berkapasiti antara 400 hingga 500 megawatt (MW).
Selain itu, jelasnya Aboitiz Power Ltd sedang meneliti pembangunan sistem grid penghantaran tenaga, manakala WEC menimbangkan pembinaan jeti dan tangki simpanan.
Sementara itu, Saudi Aramco turut menyatakan minat awal untuk menyertai projek berkenaan sebagai rakan strategik dan pembekal utama LNG bagi hab tenaga itu.

Hajiji berkata, inisiatif berkenaan selaras dengan aspirasi kerajaan negeri untuk memperkasa sektor tenaga sebagai pemacu utama ekonomi Sabah.
“Kerajaan Negeri menyambut baik cadangan pembangunan hab tenaga ini kerana ia bukan saja berpotensi menarik pelaburan berkualiti tinggi, malah mampu mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan serta merangsang pertumbuhan industri hiliran di Sabah.
“Kita komited untuk menyediakan persekitaran kondusif kepada pelabur, di samping memastikan setiap pembangunan memberi manfaat langsung kepada rakyat dan negeri,” katanya.
Jelasnya, pembangunan SOGIP sebagai hab tenaga bersepadu juga akan memperkukuh daya saing Sabah dalam industri minyak dan gas.
“Inisiatif SOGDC ini dijangka meningkatkan kapasiti infrastruktur tenaga negeri, menarik pelaburan bernilai tinggi dan menyokong pertumbuhan industri jangka panjang khususnya di kawasan SOGIP,” katanya. – Info X