Search

Beaufort, Membakut turut diisytihar banjir

February 25, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Dua lagi daerah diisytihar dilanda banjir pada Rabu, menjadikan empat daerah baharu diisytihar sebagai kawasan bencana banjir.

Daerah terbabit, Beaufort dan Membakut, masing-masing diisytihar banjir pada jam 8 pagi dan jam 10 pagi tadi.

Pengisytiharan banjir di Beaufort adalah yang kedua dalam bulan ini dan ketiga sejak Januari.

Terdahulu, daerah Sook dan Sipitang masing-masing diisytihar dilanda bencana banjir pada jam 4.30 pagi dan 6 pagi Rabu.

Pengisytiharan bencana itu serentak dengan pembukaan Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

Pada Selasa, Jabatan Meteorologi (MET Malaysia) mengeluarkan amaran ribut petir dan hujan lebat berterusan hampir sepanjang hari, khususnya di kawasan pedalaman Sabah.

Berdasarkan perkongsian di media sosial, beberapa kawasan di Keningau, Kemabong, Tenom, Nabawan turut dilanda banjir, namun belum ada pengisytiharan bencana banjir di daerah terbabit.

Sebelum ini banjir menjejaskan tiga daerah di utara Sabah, iaitu Kota Marudu, Pitas dan Paitan dengan seramai 1,695 mangsa banjir masih berlindung di lima PPS di Pitas, setakat awal pagi Rabu. – Info X