Search

Sook, Sipitang daerah terbaharu diisytihar banjir

February 25, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Daerah Sook dan Sipitang menjadi daerah terbaharu diisytihar kawasan bencana banjir berikutan hujan berterusan pada Selasa.

Kedua-dua daerah masing-masing diisytihar dilanda bencana banjir pada 4.30 pagi dan 6 pagi Rabu serentak dengan pembukaan Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

Pada Selasa, Jabatan Meteorologi (MET Malaysia) mengeluarkan amaran ribut petir dan hujan lebat berterusan hampir sepanjang hari, khususnya di kawasan pedalaman Sabah.

Berdasarkan perkongsian di media sosial, beberapa kawasan di Keningau, Kemabong, Tenom dan Beaufort turut dilanda banjir, namun belum ada pengisytiharan bencana banjir di daerah terbabit.

Sebelum ini banjir menjejaskan tiga daerah di utara Sabah, iaitu Kota Marudu, Pitas dan Paitan dengan seramai 1,695 mangsa banjir masih berlindung di lima PPS di Pitas, setakat awal pagi Rabu. – Info X