TENOM: Seramai 18 mangsa daripada tiga keluarga terpaksa dipindahkan selepas kediaman mereka dinaiki air dalam kejadian banjir di Kampung Sugiang Lama, Kemabong, di sini, malam tadi.
Dalam kejadian itu, kebanyakan rumah serta jalan raya di kampung berkenaan dilaporkan ditenggelami air susulan hujan berterusan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tenom, Mudi Pengiran berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 9.51 malam sebelum sepasukan empat anggota dikerahkan ke lokasi yang terletak kira-kira 29 kilometer dari balai.

“Jentera pertama tiba pada jam 12.01 tengah malam dan mendapati beberapa rumah serta laluan utama kampung telah dinaiki air.
“Pasukan bomba kemudian menjalankan operasi penyelamatan serta pemindahan mangsa ke lokasi selamat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, operasi membabitkan sebuah kenderaan pacuan empat dan sebuah bot penyelamat dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
Beliau berkata, semua 18 mangsa berjaya dibawa keluar dari rumah masing-masing sebelum dikumpulkan di Surau Kampung Bagiang Lama, membabitkan tujuh lelaki dewasa, lima perempuan dewasa, seorang kanak-kanak lelaki dan lima kanak-kanak perempuan.

“Sebahagian mangsa dihantar ke rumah keluarga terdekat manakala usaha untuk membawa mereka ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Ontoros Kemabong tidak dapat diteruskan berikutan Jalan Kampung Kalamatoi tidak boleh dilalui.
“Operasi ditamatkan pada jam 5.10 pagi selepas semua mangsa berada dalam keadaan selamat sebelum pasukan meneruskan pemantauan dan operasi di kawasan lain yang terjejas,” katanya. – Info X