SEMPORNA: Polis memandang serius isu penyediaan dan penjualan makanan eksotik di beberapa resort di daerah ini yang dipercayai membabitkan hidupan liar dilindungi termasuk tenggiling.
Ketua Polis Daerah Semporna, Superintenden Tan Hiap Wah berkata, sebarang aktiviti pemburuan, pemilikan, penjualan atau penyediaan hidupan liar yang dilindungi tanpa kebenaran adalah satu kesalahan serius di bawah undang-undang.
“Tiada kompromi terhadap mana-mana pihak yang didapati melanggar peruntukan undang-undang. Tindakan tegas akan diambil.
“Kes berkenaan boleh disiasat mengikut Enakmen Pemuliharaan Hidupan Liar 1997 (Sabah No. 6 Tahun 1997),” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Beliau menegaskan, spesies Pangolin (Manis javanica) atau tenggiling adalah hidupan liar yang dilindungi sepenuhnya di bawah Jadual 1 enakmen berkenaan.
“Tiadа sebarang lesen atau permit dikeluarkan kepada individu atau premis termasuk premis pelancongan untuk memiliki, menyimpan, menjual atau menyediakan spesies ini sebagai makanan,” katanya.
Tan berkata, jika sabit kesalahan di bawah Seksyen 25(1) enakmen sama, pelaku boleh didenda tidak kurang RM50,000 dan tidak lebih RM250,000 serta penjara minimum satu tahun hingga maksimum lima tahun mengikut Seksyen 25(3)(a).
Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak terbabit dalam aktiviti menyalahi undang-undang serta sentiasa menghormati usaha pemuliharaan hidupan liar demi kelestarian alam sekitar dan imej Semporna sebagai destinasi pelancongan terkenal.
“Kerjasama masyarakat amat penting. Jika mempunyai maklumat berhubung aktiviti penjualan atau penyediaan makanan eksotik yang membabitkan spesies dilindungi, salurkan kepada polis atau agensi penguat kuasa berkaitan. Identiti pemberi maklumat akan dirahsiakan.
“Polis akan terus menjalankan pemantauan dan operasi dari semasa ke semasa bagi memastikan undang-undang dipatuhi serta keselamatan dan ketenteraman awam sentiasa terpelihara,” katanya. – Info X