Search

Beban bertambah jika tarif elektrik naik

July 12, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Kenaikan tarif elektrik di Sabah boleh menyebabkan beban berganda kepada pengguna berikutan peningkatan pelbagai kos di negeri ini sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Pengerusi Yayasan Pengguna Negara Malaysia (YPNM) Sabah, David Chan, berkata sebarang perancangan untuk menaikkan tarif yang dikenakan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) perlu ditangguhkan.

Katanya, perkara itu mengambil kira situasi rakyat dan pelaksanaan mekanisme ‘Imbalance Cost Pass Through’ (ICPT) kepada pengguna yang diputuskan kerajaan sebelum ini.

“Kita amat berharap pihak SESB mempertimbangkan sedalam-dalamnya sebelum mengambil apa-apa langkah untuk menaikkan tarif elektrik.

“Pengguna kini sedang menyesuaikan diri dengan perubahan yang dibawa oleh ICPT dan cukup terbeban dengan pelbagai kos lain sehari-hari.

“Jika kita mahu membantu rakyat dan memastikan kehidupan mereka ke arah lebih baik, YPNM Sabah memohon agar sebarang keputusan menaikkan tarif elektrik ditangguhkan dahulu,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Beliau mengulas kenyataan Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) mengenai kajian tarif asas elektrik di Sabah bagi mengurangkan kebergantungan SESB terhadap subsidi kerajaan persekutuan.

PETRA yang menjawab secara bertulis pertanyaan Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Madius Tangau pada Persidangan Dewan Rakyat, Selasa lalu, menjelaskan usaha itu bagi memastikan SESB tidak lagi bergantung kepada sokongan tarif subsidi kerajaan.

Mengulas lanjut, David berkata, pihaknya berpendapat perlunya untuk menyeimbangkan kedudukan kewangan SESB tetapi pada masa yang sama perlu menjaga kesejahteraan ekonomi pengguna.

“Kita merayu supaya kebajikan rakyat diberi keutamaan dan rakyat diberi tempoh tertentu agar kehidupan mereka tidak terbeban dengan pelbagai kenaikan kos lain,” katanya. – Info X