KOTA KINABALU: Sabah FC berdepan cabaran sukar menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) berikutan kecederaan dua penyerang penting pasukan dalam aksi Liga Super di Stadium Likas, malam esok.
Ketua Jurulatih Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee mengesahkan dua tonggak penting serangan Sang Badak, Saddil Ramdani dan Darren Lok masih mengalami kecederaan yang memungkinkan mereka tidak dapat diturunkan.
Bagaimanapun, katanya beliau sudah bersedia dengan pemain lain yang bakal mengambil alih posisi mereka bagi memastikan Sang Badak tetap memberi saingan sengit ke atas JDT.
“Kedua-dua pemain ini masih mengalami kecederaan dan sudah pasti ia akan memberi satu cabaran besar, namun beberapa pemain lain bersedia mengambil alih posisi mereka.
“Apa yang penting mereka perlu mengambil peluang ini sebaik mungkin termasuk memberi komitmen tinggi selain menimba pengalaman serta bersiap sedia mental dan fizikal bermain dengan pasukan ternama Liga Super,” katanya.
Kim Swee berkata, meskipun menyedari berdepan Harimau Selatan bukan perkara yang mudah, namun pemain Sang Badak perlu memberikan saingan yang hebat dan bermain dengan lebih baik.
“Kita sedar ia bukan satu perkara yang mudah tetapi kita harus memberikan saingan hebat serta memastikan Sabah FC dapat beraksi dengan lebih baik terutama selepas tewas dua perlawanan dengan Terengganu baru-baru ini,” katanya.

Mengulas mengenai beberapa isu membabitkan Sabah FC yang tular di media sosial baru-baru ini, Kim Swee berkata, semua isu itu sudahpun diselesaikan.
Berikutan itu beliau berharap semua pemain Sang Badak memberikan tumpuan penuh kepada perlawanan penting memmnentang JDT, esok.
“Kita yakin isu-isu luar ini tidak akan mengganggu tumpuan dan fokus pemain, mereka perlu meningkatkan prestasi selepas gagal memperoleh kemenangan daripada dua perlawanan yang lepas.
“Kita tidak bermain dengan begitu baik (lawan Terengganu) dan mereka (pemain) harus melupakan kekalahan itu dengan menumpukan kepada perlawanan esok agar dapat bermain serta mengembalikan prestasi sebenar selepas tewas kepada Terengganu,” katanya.
Antara isu yang dikaitkan dengan Sabah FC sebelum ini ialah masalah pembayaran gaji pemain dan ia didakwa antara punca kekalahan dengan agregat 7-0 di tangan Terengganu dalam dua aksi suku akhir Piala FA.
Kim Swee juga berharap penyokong Sabah FC turun beramai-ramai ke Stadium Likas malam esok untuk meningkatkan semangat pemain selepas tewas kepada Terengganu sebelum ini.
“Saya tahu ramai pihak yang kecewa, namun kita harus teruskan di mana ini penting untuk mendapatkan sokongan berterusan terutama daripada penyokong yang sememangnya akan memberi impak yang sangat berlainan,” katanya.
Beliau menambah, dengan adanya kehadiran penyokong yang ramai di Stadium Likas, semangat pemain akan meningkatkan sekali gus dapat memberi motivasi untuk berdepan pasukan JDT dengan yakin. – Info X