KOTA KINABALU: Beberapa kawasan di Sabah, hari ini, mengalami gangguan bekalan elektrik disebabkan Tarbin Penjana Tenaga Bebas yang terpelantik akibat masalah teknikal.
Bagiamanapun, Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) mengambil maklum mengenai perkara berkenaan dan memantau gangguan yang bermula pada jam 10:30 pagi tadi itu.
Pengurus Besar Kanan (Pengurusan Aset) Ir. Idris Mohd Noor berkata usaha sedang giat dilaksanakan oleh pasukan teknikal SESB untuk memulihkan bekalan secara berperingkat.

Katanya, bagi menstabilkan frekuensi grid di Grid Sabah, mekanisme Skim Perlucutan Beban Automatirik (Under Frequency Load Shedding-UFLS) telah diaktifkan bagi mengelakkan sistem grid daripada lumpuh sepenuhnya.
Beliau berkata, sistem telah mengalami lucutan beban sehingga 55MW dan untuk memastikan kestabilan grid, SESB terpaksa melaksanakan catuan bekalan bagi menangani permintaan beban di seluruh negeri.
“Bekalan sedang dipulihkan secara berperingkat dan SESB akan terus memantau keadaan yang dijangka akan kembali normal sepenuhnya pada malam ini.
“Pemulihan bekalan dilaksanakan secara berperingkat dan SESB memohon maaf di atas segala kesulitan yang dialami oleh pengguna,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Pengguna dinasihatkan untuk menghubungi Careline SESB 15454, 088515000 atau melalui Whatsapp 0198525427, SESB Careline Facebook, SESB Twitter untuk sebarang pertanyaan. – Info X