Search

Dua lelaki cuba curi kabel diberkas

April 12, 2023

admin

KOTA KINABALU: Cubaan dua lelaki mencuri kabel milik sebuah syarikat telekomunikasi gagal apabila berjaya diberkas pasukan Polis Bantuan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB), semalam.

Kedua-dua suspek itu ditahan berdekatan dengan sebuah kondominium di Jalan Tanjung Lipat, di sini, kira-kira jam 4 pagi.

Pengurus Besar Kanan (Pengurusan Aset) SESB, Ir Idris Mohd Noor berkata, hasil penahanan suspek, pihaknya turut merampas peralatan yang disyaki digunakan untuk mencuri kabel elektrik.

“Suspek diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Sementara itu, Idris berkata susulan kejadian kecurian kabel milik SESB yang berleluasa sejak kebelakangan ini, Polis Bantuan SESB melancarkan operasi khas iaitu Operasi Kabel Elektrik.

“Intipan dan rondaan dilakukan oleh pasukan Polis Bantuan SESB di kawasan-kawasan yang
dikenal pasti sering berlaku kejadian kecurian kabel milik SESB.

“Seramai 20 anggota Polis Bantuan SESB yang diketuai oleh Pengurus Kanan Jabatan Keselamatan & Risikan, Aszman Jaiman terbabit di dalam operasi berkenaan,” katanya.

Sehubungan dengan itu, orang ramai boleh menghubungi SESB Careline melalui 15454, 088-
515000, Whatsapp 019- 852 5427 untuk sebarang aduan mengenai kegiatan yang
mencurigakan dipepasangan milik SESB. – Info X