Search

Nelayan terjatuh ke laut dikhuatiri lemas

April 12, 2023

admin

SEMPORNA: Seorang nelayan dikhuatiri lemas selepas terjatuh dari botnya di perairan Pulau Menampilik, di sini, dipercayai akibat diserang penyakit sawan, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi itu, mangsa lelaki berusia lingkungan 30 tahun sedang menangkap ikan bersama isterinya sebelum terjatuh ke laut.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 9.30 pagi.

Katanya, sepasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) atas air Semporna bersama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dan Taman-Taman Sabah (TTS) digerakkan ke lokasi kejadian.

“Pasukan bomba bersama agensi bantuan yang lain menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) dengan kaedah surface searching di sekitar mangsa dilaporkan terjatuh.

“Bagaimanapun setakat ini mangsa belum ditemui,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, operasi ditangguhkan pada 3.58 petang dan akan disambung pada pagi esok. – Info X