Search

Bot karam: Wanita lemas, 2 anaknya hilang di sungai

April 12, 2023

admin

SEPULUT: Seorang wanita ditemui lemas manakala tiga individu termasuk dua anaknya dikhuatiri lemas dalam kejadian bot karam di Sungai Penawan, Kampung Sin-Singon, di sini, semalam.

Mangsa lemas Lerina Rody, 26, ditemui oleh penduduk kampung, kira-kira 3 petang, manakala dua lagi anaknya Joffinoz Joffrinos dan Carbrineleyvonne masing-masing berusia sembilan dan tujuh tahun belum ditemui.

Suami mangsa, Joffrinos Palandok, 36, dan seorang lagi anak lelaki mereka, Jilan, 5, berjaya menyelamatkan diri.

Difahamkan, lima sekeluaga itu dikatakan menaiki bot dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Kampung Sin-Singon selepas dari kebun.

Bagaimanapun sebaik tiba di lokasi kejadian, dipercayai arus sungai yang deras menyebabkan bot dinaiki mereka karam.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima laporan berkaitan kejadian itu pada 1.14 tengah hari semalam.

Pasukan bomba menjalankan operasi pencarian di Sungai Penawan, Kampung Sin-Singon, Sepulut. – Foto Bomba

Katanya, sepasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sook dan Keningau termasuk anjing pengesan (K9) serta dibantu Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Nabawan digerakkan ke lokasi kejadian.

“Menurut maklumat awal dari pemanggil, sebuah bot dinaiki lima sekeluarga karam dan dua mangsa berjaya menyelamatkan diri.

“Manakala tiga mangsa belum ditemui iaitu seorang wanita dan dua kanak-kanak lelaki dan perempuan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, pasukan bomba bertindak membuat operasi mencari dan menyelamat (SAR) dengan kaedah surface searching di sekitar kawasan bot karam.

Pasukan penyelamat yang menjalankan operasi SAR mangsa bot karam di Sungai Penawan, Kampung Sin-Singon, Sepulut. – Foto Bomba

“Pada 3.15 petang semalam, penduduk kampung menemui mangsa wanita disahkan meninggal dunia dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

“Pencarian dua lagi mangsa yang memasuki hari kedua pada 8.42 pagi tadi, dijalankan disepanjang sungai dengan anggaran pencarian sejauh tiga kilometer,” katanya.

Sementara itu, katanya ketika operasi pencarian dua lagi mangsa dijalankan, terdapat seorang lelaki berusia 38 tahun iaitu kumpulan orang kampung yang turut serta dalam operasi SAR terjatuh ke dalam sungai dan hilang.

“Kejadian berlaku kira-kira jam 4 petang ketika operasi SAR dijalankan membabitkan semua agensi dan orang kampung.

“Operasi SAR tiga mangsa diteruskan dan maklumat akan dikemaskini dari semasa ke semasa,” katanya.

Operasi turut disertai Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Keningau. – Info X