KOTA KINABALU: Beberapa laluan utama di daerah Pitas dan Kota Marudu dilaporkan tidak dapat dilalui sebarang jenis kenderaan akibat banjir sejak pagi tadi.
Berdasarkan Info Semasa Laporan Bencana dikeluarkan Jabatan Kerja Raya (JKR) di Facebook jabatan itu, tiga laluan terputus setakat ini ialah di Jalan Pinapak dan Kabatasan Dandun di Pitas, manakala Jalan Access Road III, Mini Kompleks Sukan di Kota Marudu.
Jalan Pinapak, Pitas tidak dapat dilalui berikutan kenaikan paras air sungai, khususnya di laluan KM4.44, manakala banjir di Jalan Kabatasan Dandun bermula dari laluan KM2.0 – KM3.5.
Sementara itu, banjir turut menjejaskan laluan di KM4.5 Jalan Kanibongan, Pitas, namun masih boleh dilalui kenderaan besar.