KOTA KINABALU: Yayasan Pengguna Negara Malaysia (YPNM) Cawangan Sabah menyuarakan kebimbangan mengenai kemungkinan wujud tindakan bersepakat atau kartel dalam kalangan peniaga untuk memanipulasi bekalan dan menaikkan harga barangan sepanjang Ramadan ini.
Pengerusinya, David Chan, berkata kebimbangan itu khususnya terhadap bekalan makanan asas, khususnya makanan sejuk beku import dan tempatan.
Katanya, jika amalan tidak beretika itu berlaku, ia memberi beban kepada pengguna, lebih-lebih lagi pada Ramadan apabila permintaan bahan makanan lazimnya meningkat.
“YPNM Sabah menegaskan sebarang bentuk manipulasi harga atau kenaikan harga tanpa justifikasi adalah satu pelanggaran serius terhadap hak pengguna dan undang-undang negara.
“Sehubungan itu, kita mengingatkan semua peniaga bahawa tindakan penguatkuasaan tegas boleh diambil di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti-Pencatutan 2011 (AKHAP 2011) oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN),” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, mengikut Seksyen 14 (Peruntukan Anti-Pencatutan) AKHAP 2011, peniaga yang didapati bersalah boleh dikenakan hukuman denda hingga RM100,000 atau penjara bagi individu dan denda hingga RM500,000 bagi syarikat.
Bagi mengekang perkara itu, katanya YPNM menyokong penuh pelaksanaan Ops Pantau 2026 oleh KPDN dan menggesa pemantauan serta penguatkuasaan yang tegas bagi memastikan harga barangan kekal adil dan terkawal sepanjang tempoh Ramadan dan Aidilfitri nanti.
“YPNM turut menggalakkan pengguna supaya sentiasa berwaspada dan melaporkan sebarang kenaikan harga yang mencurigakan atau amalan perniagaan tidak beretika kepada pihak berkuasa yang berkaitan.
“Ramadan adalah bulan muhasabah, keprihatinan dan kebersamaan. Justeru, YPNM menyeru peniaga agar bertindak secara bertanggungjawab dan tidak mengambil kesempatan terhadap pengguna demi keuntungan berlebihan.
“Harga yang adil bukan saja satu kewajipan undang-undang tetapi juga tanggungjawab moral kepada masyarakat,” katanya.
Sehubungan itu, David menggesa semua peniaga supaya mengekalkan integriti dan keadilan dalam amalan perniagaan serta tidak membentuk kartel atau terbabit dalam aktiviti pencatutan, lebih-lebih lagi sepanjang Ramadan ini. – Info X