Search

Banjir di utara Sabah, Sandakan

February 20, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Tiga daerah di utara Sabah, manakala sebuah daerah di pantai timur dilanda banjir berikutan hujan lebat berterusan sejak semalam.

Daerah Pitas, Kota Marudu dan Paitan diisytihar dilanda bencana banjir berkuatkuasa jam 6 pagi tadi, manakala di Sandakan banjir dan pokok tumbang dilapor di beberapa kawasan sekitar daerah itu.

Berdasarkan laporan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), setakat ini seramai 213 mangsa dipindahkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tandek 2 di Kota Marudu.

Sebuah PPS turut dibuka di Pitas iaitu di Dewan Sekolah Kebangsaan (SK) Rukom dengan proses pemindahan dilaporkan masih giat dijalankan setakat pagi ini.

Laporan Pusat Kawalan Bencana Negeri Sabah setakat ini menunjukkan empat kampung di Kota Marudu dan dua kampung di Pitas terjejas akibat banjir dan penduduknya terpaksa dipindahkan.

Di Sandakan, hujan lebat berterusan yang melanda daerah itu mengakibatkan beberapa kawasan dilanda banjir, pokok tumbang dan beberapa jalan utama dinaiki air.

Antara lokasi pokok tumbang yang dilaporkan ialah di SK St Monica dan Bandar Sandakan, selain di Taman Mutiara dan GIATMARA Batu Sapi.

Banjir pula dilapor berlaku di Kampung Pangeran dan Taman Fajar, manakala beberapa jalan dilaporkan dinaiki air, antaranya Jalan Batu 7, Taman Nuri, Taman Fajar Lama, Jalan Mahkamah, Jalan Batu 8, Jalan Batu 9, kawasan Petronas Batu 6 dan Jalan Perhutanan.

Sementara itu, Jabatan Meteorologi (MET Malaysia) semalam mengeluarkan amaran tahap waspada hujan berterusan di kawasan Sandakan, Kudat atau utara Sabah dan pantai barat, khhususnya di daerah Ranau dan Kota Belud yang berlanjutan hingga hari ini.

Susulan amaran itu, MET Malaysia hari ini meningkatkan amaran hujan berterusan ke tahap buruk di daerah Beluran, Pitas dan Kota Marudu, manakala kekal tahap waspada di Ranau, Kota Belud, Telupid, Sandakan dan Kudat. – Info X