Search

Bekalan air di UMS hampir pulih

March 19, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Isu bekalan air di kampus Universiti Malaysia Sabah (UMS), hampir pulih dengan kira-kira lima juta liter sehari (MLD) dijangka dapat disalurkan ke sistem pengagihan air di universiti itu tidak lagi.

Naib Canselor UMS, Prof Datuk Dr Kasim Mansor, berkata ketika ini Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) sudah dapat menyalurkan kira-kira empat MLD, manakala tambahan satu MLD lagi menerusi lapan telaga tiub yang sedang disiapkan.

Beliau berkata, jumlah itu boleh menampung keperluan kira-kira 22,000 warga UMS yang berada di kawasan kampus pada siang hari, termasuk pelajar yang tinggal di kolej kediaman.

“Alhamdulilah daripada analisis yang kita buat, sebanyak lapan telaga tiub yang sudah digerudi boleh menjana sekurang-kurangnya satu MLD, jadi cukuplah untuk menampung kekurangan bekalan air dari JANS yang sekarang ini membekal empat MLD kepada UMS,” katanya ditemui pada Majlis Sungkai Perdana UMS di Pusat Islam UMS, malam tadi.

Sebelum ini, pihak JANS berdepan kesukaran menyalurkan air yang mencukupi di kampus UMS disebabkan kapasiti air dari Loji Rawatan Air (LRA) Telibong di Tuaran berada di bawah kadar permintaan.

Namun, difahamkan situasi itu bertambah baik dengan siapnya LRA Telibong 2 Fasa Dua pada akhir tahun lalu, disusuli penyiapan kerja penyambungan paip pada bulan lalu.

Sementara itu, mengenai perkembangan projek telaga tiub yang dibiayai dengan peruntukan RM3 juta diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Mei tahun lalu, Kasim berkata semua enam telaga tiub sudah siap digerudi.

Katanya, ketika ini kontraktor sedang menyiapkan sistem takungan dan kerja perpaipan ke kolej kediaman pelajar dengan tiga daripadanya dijangka siap sepenuhnya seperti yang dijadualkan pada 26 Mac ini.

Baki tiga lagi, katanya bersama dua telaga yang dibiayai menerusi peruntukan RM2 juta dari Kementerian Pendidikan Tinggi hanya dijangka siap pada April depan.

Dalam hal berkaitan, Kasim berkata, kemarau akibat cuaca panas dan kering yang berlaku ketika ini turut memberi kesan kepada dua sumber air graviti yang digunakan di universiti itu ketika ini.

Beliau, kedua-dua sumber air alternatif yang dibina bagi mengurangkan krisis air yang dialami di universiti itu sebelum ini semakin susut dan dijangka kering jika kemarau berpanjangan. – Info X