KOTA KINABALU: Pengerusi Pimpinan Negeri (MPN) Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah, Datuk Dr Sangkar Rasam menyatakan pendiriannya tidak akan berundur daripada jawatan itu meskipun didesak 15 daripada 26 Ketua Cabang PKR di Sabah dan Labuan.
Katanya, beliau akan terus menunaikan amanah yang diberikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Presiden PKR dengan penuh tanggungjawab dan integriti.
“Oleh itu, saya tidak akan berganjak daripada tugas saya untuk memastikan Parti Keadilan Rakyat terus berkhidmat untuk kemajuan dan kesejahteraan Sabah,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.
Pada sidang media semalam, Ketua Cabang Kota Marudu, Sazalye Donol Abdullah yang mewakili 15 Ketua Cabang meminta Sangkar meletakkan jawatan secara terhormat kerana didakwa gagal memantapkan PKR Sabah berikutan tiada program parti dilaksanakan sejak dilantik pada Ogos 2022.
Beliau berkata, gesaan agar Sangkar mengundur diri juga mengambil kira keperluan untuk melantik seorang pemimpin baharu yang lebih proaktif menggerakkan parti, terutama bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) yang semakin dekat.
Sementara itu, Sangkar menyifatkan dakwaan dibuat Sazalye itu satu fitnah yang tidak berasas dan tidak mencerminkan pandangan sebenar suara akar umbi PKR Sabah.
“Beliau melakukan tuduhan jahat bahawa saya belum pernah mengadakan program memperkasakan kepemimpinan parti semenjak dilantik menjadi Pengerusi Negeri pada 2022.
“Perkara ini sama sekali tidak benar kerana sepanjang lebih setahun yang lalu program parti yang saya anjurkan dipenuhi ahli parti dari seluruh pelusuk Sabah selain dihadiri oleh wakil Pejabat Perdana Menteri sendiri,” katanya.
Ketua Cabang Keningau itu berkata tuduhan yang dilemparkan terhadapnya bukan saja memalukan PKR, malah membantutkan gerak kerja parti dalam melakukan persiapan menuju PRN17.
“Kita harus terus bersatu dalam memfokuskan agenda pembangunan dan kebajikan rakyat Sabah, bukan terbabit dalam mencetuskan pergolakan dalaman yang hanya membuang masa ramai pihak yang tulus bekerja untuk parti,” katanya.
Jelasnya, pergolakan dalaman kepemimpinan PKR Sabah bukan kali pertama berlaku, malah peletakan jawatan tanpa sebarang isu berkepentingan rakyat tidak dapat mengelakkan isu seperti itu daripada berulang.
Jentera PKR Sabah, katanya kini sedang berada dalam keadaan bersiap-siaga untuk berhadapan PRN dan beliau komited untuk menambah kemenangan kerusi PKR agar parti itu kekal berperanan penting dalam mengemudi kerajaan negeri.
“Dengan ini, saya menyeru semua pihak agar kita bersama meletakkan kepentingan rakyat mengatasi kepentingan peribadi sesetengah pihak untuk kita teruskan bekerjasama demi memperkasakan PKR Sabah,” katanya.
Seramai 15 Ketua Cabang yang menyokong dan menandatangani akuan bersumpah (SD) agar Sangkar meletak ialah dari Kota Marudu, Kota Belud, Kota Kinabalu, Sepanggar, Tuaran, Pensiangan, Sipitang, Beaufort, Beluran, Kinabatangan, Papar, Kimanis, Kalabakan, Batu Sapi dan Semporna. – Info X