Search

Lelaki proses, edar air ketum dicekup

March 19, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Pasukan Polis Marin (PPM) berjaya menahan seorang lelaki yang disyaki pengedar air ketum dalam serbuan di Kampung Contoh, Suang Parai, Jalan Sepanggar, di sini, Ahad lalu.

Suspek berusia 56 tahun terbabit dikesan menjalankan aktiviti memproses daun ketum sebelum menjual serbuk ketum sebagai teh hijau atau green tea.

Lelaki warga tempatan itu berjaya ditahan dalam serbuan yang dijalankan pada jam 9.30 malam, 17 Mac lalu.

Timbalan Komander PPM Wilayah Empat Sabah, Superintendan Abdul Nasir Othman berkata, serbuan dijalankan selepas pihaknya menerima maklumat berkenaan kegiatan memproses dan menjual ketum di rumah suspek.

Katanya, ketika serbuan dijalankan, pasukan operasi menemukan tujuh bungkus plastik lut sinar mengandungi serbuk warna hijau bertulis ‘Green Tea Powder Padu’.

“Pasukan operasi menemui satu bungkusan serbuk warna hijau kekuningan tidak bertulis yang masing-masing dipercayai serbuk ketum.

“PPM turut merampas 43 botol air 1.5 liter berisi air berwarna hijau disyaki air ketum bersama barangan memproses dan menjual ketum termasuk dapur, tong gas dan periuk,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Serbuk dan air ketum yang dirampas dalam serbuan di Kampung Contoh, Suang Parai, Jalan Sepanggar, Kota Kinabalu. – Foto/PPM

Abdul Nasir berkata, beberapa peralatan yang dipercayai digunakan untuk memproses daun ketum berkenaan turut dirampas antaranya penimbang besi, corong, penapis, plastik pembungkus dan botol kosong.

“Polis juga merampas telefon bimbit dan wang tunai pelbagai nilai yang dipercayai hasil daripada kegiatan penjualan serbuk dan air ketum,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, kesemua barangan bernilai RM6,560 dan suspek kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu untuk tindakan lanjut.

Katanya, kes disiasat mengikut Akta Racun 1952. – Info X