KOTA KINABALU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memberi jaminan akan memastikan bekalan bahan api di Sabah kekal mencukupi dan stabil.
Jaminan itu disuarakan menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali ketika pertemuan dengan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor di Menara Kinabalu, di sini, pada Selasa.
Pertemuan itu memberi tumpuan kepada isu bekalan bahan api di Sabah, khususnya petrol dan diesel, susulan kebimbangan terhadap kemungkinan berlakunya kehabisan bekalan yang boleh menjejaskan pengguna dan kelangsungan sektor ekonomi negeri.
Armizan berkata, pemantauan rapi dan penyelarasan berterusan bersama agensi berkaitan akan terus diperkukuh bagi mengelakkan sebarang gangguan bekalan, khususnya di kawasan luar bandar dan sektor kritikal.
Sementara itu, Hajiji menegaskan kepentingan bekalan bahan api yang konsisten bagi menyokong aktiviti ekonomi negeri, termasuk sektor logistik, perikanan dan pertanian yang banyak bergantung kepada penggunaan diesel.
Selain Armizan, Hajiji turut menerima kunjungan hormat Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Tan Sri Mohd Salim Fateh Din yang memberi taklimat mengenai kemajuan pelaksanaan Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) di Sabah serta inisiatif Bandar Pintar Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK Smart City).

Turut hadir Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri, Datuk James Ratib; Ahli SKMM, Jeneral (B) Tan Sri Dr Zulkifeli Mohd Zin dan pegawai kanan suruhanjaya itu. – Info X