Search

Empat rumah musnah dalam kebakaran di Tanjung Batu Laut

March 24, 2026

Info X Reporters

TAWAU: Empat rumah musnah manakala sebuah lagi serta sebuah kedai mengalami kerosakan dalam kebakaran di Tanjung Batu Laut, Jalan Kampung Pukat, di sini, hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Jemishin Ujin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 11.39 pagi.

Katanya, seramai 19 anggota bersama lima jentera termasuk FRT, LFRT, CFRT, EMRS dan Water Tanker digerakkan ke lokasi bagi operasi pemadaman.

Menurutnya, kebakaran membabitkan lima bangunan iaitu empat rumah kediaman tidak kekal dan sebuah kedai jenis kekal.

“Dua rumah terbakar 100 peratus, sebuah rumah 90 peratus, manakala sebuah lagi hanya 10 peratus. Sebuah kedai turut terjejas kira-kira 10 peratus.

“Operasi pemadaman dijalankan menggunakan dua aliran hos sepanjang 300 kaki dengan empat pancutan air, selain sumber air diperoleh daripada jentera tangki air bomba,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 12.14 tengah hari.

“Tiada mangsa dilaporkan terbabit dalam kejadian ini, manakala punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya. – Info X