KOTA KINABALU: Seorang pesara mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mengeluarkan kenyataan berbaur ugutan terhadap seorang pakar patologi Hospital Queen Elizabeth (HQE) melalui laman Facebook pada 4 September lalu.
Tertuduh, Kamul Kamarudin, 61, yang juga bekas guru besar membuat pengakuan itu selepas mendengar pertuduhan terhadapnya yang dibacakan di hadapan Hakim Marlina Ibrahim ketika dihadapkan di Mahkamah Sesyen, di sini, pada Khamis.
Berdasarkan kertas pertuduhan, Kamul didakwa menggunakan laman profil Facebook ‘Amung Kamaruddin’ pada 4 September lalu sekitar jam 11 malam untuk memuat naik kenyataan “Mau intai bah ni Dr di mana dia tinggal… bila dia kerja… upah bah… pemandu langgar lari.”
Kenyataan berunsur ugutan itu dibaca oleh Jessie Hiu @ Jessie Dorey Hiu Chen Chen pada 5 September kira-kira jam 4.15 petang di kediamannya di Taman Luyang, Kota Kinabalu.
Tindakan itu didakwa dilakukan dengan niat mengganggu mangsa, sekali gus menjadi satu kesalahan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta yang sama.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh didenda maksimum RM50,000 atau dipenjara sehingga setahun atau kedua-duanya sekali.
Selain itu, mahkamah juga boleh mengenakan denda tambahan RM1,000 bagi setiap hari kesalahan diteruskan selepas pensabitan.
Tertuduh ditahan pada 8 September lalu susulan laporan polis yang dibuat terhadapnya.
Pertuduhan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Sabah, Lovely Natasha Charles dan Meredith Gilbert, manakala tertuduh yang tinggal di Semporna diwakili peguam Elhanan James.
Siasatan kes dikendakikan Inspektor Mohd Shahrul Tarmizi Shaffiee.
Ketika prosiding, Elhanan memohon mahkamah mempertimbangkan latar belakang anak guamnya sebagai pesara, berusia 61 tahun dan mempunyai masalah kesihatan iaitu menghidap tekanan darah tinggi, gout serta bengkak di bahagian lengan yang masih dalam rawatan.
Selain itu, mahkamah juga diberitahu bahawa tertuduh juga menjaga adik-beradik yang sakit iaitu seorang lumpuh dan seorang lagi mengalami strok.
Bagaimanapun, pihak pendakwaan memohon jaminan RM20,000 dengan dua penjamin tempatan dikenakan terhadap tertuduh, selain syarat tambahan supaya tidak mengganggu keluarga mangsa atau saksi.
Pendakwaan turut meminta tertuduh diarahkan melapor diri di balai polis sekali sebulan sehingga kes selesai.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 dengan dua penjamin tempatan berserta syarat tambahan yang ditetapkan.
Sebutan semula kes ditetapkan pada 29 September ini. – Info X