Search

Inkues kematian Zara: Patung baharu ditambah berat guna air untuk ujian ketika prosiding locus in quo

September 11, 2025

Info X Reporters

PAPAR: Satu patung baharu yang ditambah berat untuk menyamai berat Allahyarham Zara Qairina Mahathir digunakan dalam simulasi jatuhan pada prosiding inkues kematian arwah secara locus in quo di asrama sekolahnya di Limauan Kinarut, dekat sini, hari ini.

Peguam Datuk Ram Singh yang ditemui di sekolah selepas selesai prosiding tengah hari tadi, berkata patung baharu itu ditambah berat menggunakan air berbanding menggunakan batu bata ketika simulasi dibuat pihak polis pada 3 Ogos lalu

Beliau berkata, simulasi memanjat palang besi tembok koridor dan bergayut pada jeriji besi tergantung juga dibuat untuk memberi gambaran mengenai kemungkinan yang berlaku pada hari kejadian 16 Julai lalu.

“Itu patung baharu, ia dipasang semula dengan bekas air untuk mendapatkan berat 53 kilogram. Kedua-duanya sama seperti yang digambarkan semalam, mirip dengan arwah.

“Mereka gunakan air kali ini, bekas air. CSI juga ada memanjat ke jeriji besi untuk menguji beberapa arah di tingkat tiga, ada tolakan dan tanpa tolakan. Kami cuba semua kemungkinan.

“Peguam diberi peluang untuk menjelaskan keraguan atau soalan mereka. Semua kemungkinan dicuba,” katanya.

Ram Singh ketika ditemui media.

Beliau berkata, soalan lanjut mengenai simulasi itu akan dikemukakan pada prosiding inkues di Mahkamah Koroner di Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu, petang ini.

Mengenai patung kedua yang dibawa ke lokasi kejadian pada jam 11 pagi tadi, Ram berkata ia adalah patung yang dibawa ke mahkamah pada hari kedua inkues untuk penandaan lokasi kecederaan di anggota badan.

“Patung yang dibawa turun sekitar jam 11 pagi tadi ialah patung daripada hari kedua. Itu berkaitan kecederaan. Mereka mahu tahu dengan tepat di mana kecederaan di kepala, bahagian belakang kepala, tetapi tidak disebutkan,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai patung yang dijatuhkan pada simulasi hari ini, beliau berkata keadaannya rosak berikutan jatuh dari tempat tinggi.

“Sangat rosak, patung tidak sama seperti tubuh manusia, dengan kepadatan dan tulang kita. Patung itu berongga, jadi semestinya ia rosak teruk.

“Tulang patah, ya, tetapi patung bukan bahan yang tepat. Ia hanya untuk menunjukkan impak ke tanah. Kami hanya gunakannya sebagai contoh, bukan untuk menunjukkan ketepatan kepadatan, daya dan kelajuan.

“Semua orang boleh membuat penilaian sendiri. Soalan lanjut akan diajukan di mahkamah jam tiga nanti,” katanya. – Info X