TAWAU: Seorang bekas pelajar Kolej Vokasional Lahad Datu dihukum penjara seumur hidup selepas didapati bersalah membunuh rakan seasrama, Mohd Nazmie Aizzat Mohd Narul Azwan, 17, pada Mac tahun lalu.
Hukuman itu dijatuhkan Mahkamah Tinggi Tawau ketika pendengaran keputusan kes di hadapan Hakim Datuk Duncan Sikodol, di sini, pada Khamis.
Selain penjara, tertuduh berusia 20 tahun itu turut dikenakan 12 kali sebatan, manakala 12 lagi tertuduh yang turut didapati bersalah diperintah menjalani hukuman penjara sehingga mendapat pengampunan Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sabah.
Ketika membacakan keputusan, Duncan berkata, hukuman itu dijatuhkan selepas meneliti laporan akhlak daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta mengambil kira faktor umur semua tertuduh yang masih remaja ketika kejadian.
Semua 13 tertuduh berusia antara 16 hingga 19 tahun ketika kejadian, sebelum ini didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara 30 hingga 40 tahun serta tidak lebih 12 sebatan, jika sabit kesalahan.
Pada prosiding 22 Ogos lalu, mahkamah memutuskan pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah terhadap semua tertuduh.
Dalam kejadian pada Mac tahun lalu, mangsa ditemui mati dengan 102 kesan lebam, lima luka melecet serta tanda mempertahankan diri di Bilik Asrama 7 Resak dan 5 Belian, Kolej Vokasional Lahad Datu, antara jam 9 malam 21 Mac hingga 7.38 pagi, 22 Mac 2024.
Prosiding dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Nisla Abdul Latif bersama Ng Jhun Tao, manakala Asisten Superintendan Sudin Tjinke bertindak sebagai pegawai penyiasat. – Info X