TAMBUNAN: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor menyatakan keyakinan terhadap sokongan rakyat untuk memberi mandat baharu kepada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) untuk terus menerajui kerajaan negeri selepas Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17).
Keyakinan itu katanya berdasarkan sentimen yang kuat terhadap parti tempatan untuk menerajui Kerajaan Negeri, khususnya di bawah GRS yang terdiri daripada lapan parti tempatan.
Beliau berkata, lapan parti terbabit, iaitu Parti Solidariti Tanahairku (STAR), Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Gagasan Rakyat (Gagasan Rakyat), Parti Maju Sabah (SAPP), Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS), Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), Parti Liberal Demokratik (LDP) dan Parti Cinta Sabah (PCS) menjadi harapan pada PRN17 nanti.
“Lapan parti tempatan ini adalah harapan kita dalam PRN akan datang. Kita tidak boleh sia-siakan peluang keemasan ini kerana sentimen rakyat sangat kuat untuk parti tempatan memimpin politik Sabah,” katanya.
Beliau berkata demikian pada program Jerayawara Yayasan Sabah Bersama Rakyat (YSBR) 2025 di Dataran Pisompuruan, di sini, pada Khamis.

Hajiji berkata beliau mahu rakyat Sabah terus bersatu bagi memastikan kemenangan cemerlang GRS pada PRN17 nanti.
“Saya mahu rakyat bersatu. Inilah masa terbaik untuk kita memastikan GRS menang dengan cemerlang dalam PRN.
“Pemimpin GRS di Tambunan mesti menang dan kita ada pemimpin yang baik di sini, iaitu Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan,” katanya.
Beliau berkata, sepanjang lima tahun yang lalu, Kerajaan Negeri GRS di bawah kepimpinannya telah membuktikan rekod pencapaian membawa pembangunan kepada negeri dan rakyat.
“Kita telah mencapai banyak kejayaan dan berjaya membangunkan semula ekonomi negeri berasaskan tiga teras ekonomi iaitu pertanian, perindustrian dan pelancongan.
“Dalam sektor pertanian, kita telah menghidupkan semula Lembaga Padi dan Beras Sabah dengan matlamat untuk meningkatkan Tahap Sara Diri (SSL) makanan negeri kepada 60 peratus menjelang 2030,” katanya.
Dalam sektor perindustrian pula, katanya, dasar mesra pelabur kerajaan negeri berjaya menarik ramai pelabur berimpak tinggi, termasuk dari Singapura yang membawa masuk pelaburan bernilai RM31 bilion melalui tiga fasa.

“Ini bukan saja dapat menjana ekonomi negeri, malah mewujudkan ribuan peluang pekerjaan,” katanya.
Hajiji berkata, kerajaan negeri melaksanakan banyak inisiatif untuk meningkatkan taraf sosio ekonomi rakyat, termasuk bantuan bulanan RM300 kepada kira-kira 100,000 golongan miskin dan miskin tegar di Sabah selama setahun.
Dari segi bantuan kebajikan, katanya kerajaan negeri membelanjakan kira-kira RM1.4 bilion untuk membantu 70,000 penerima, manakala dalam pendidikan, kerajaan negeri telah membelanjakan RM1.33 bilion bagi pembangunan modal insan.
“Saya ingin bertanya kepada Shafie Apdal, apa yang beliau telah lakukan sepanjang dua setengah tahun menjadi Ketua Menteri dan juga ketika menjadi Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah selama hampir tujuh tahun,” katanya.
Hajiji berkata rakyat tidak boleh membuat pilihan yang salah pada PRN akan datang. – Info X