KOTA KINABALU: Seorang pemain ragbi, didakwa di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini, kerana membunuh adik kandungnya.
Dalam prosiding di hadapan Majistret Jessica Ombou Kakayun, hari ini, tertuduh Arden Mattson Maturin, 26, pada mulanya memberitahu mahkamah yang dia tidak bersalah dan minta dibicarakan.
Bagaimanapun, mahkamah kemudian menjelaskan yang pengakuan daripada tertuduh tidak akan diambil kerana di peringkat majistret hanya untuk proses sebutan kes.
Jessica kemudian menetapkan 14 Jun untuk sebutan semula kes berkenaan.
Mengikut pertuduhan, Arden didakwa melakukan kesalahan itu pada 4 Mei lalu antara jam 3.30 hingga 4.30 petang, di Taman Prestij, Jalan Signal Hill, Kota Kinabalu.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika disabitkan kesalahan.
Tertuduh merupakan seorang bekas pemain ragbi negeri dan kini masih aktif bermain bersama sebuah kelab tempatan.
Terdahulu, mangsa, Audrey Maturin (gambar kecil) yang berusia 24 tahun ditemui dalam keadaan tertiarap, berlumuran darah dan tidak sedarkan diri dengan kesan kecederaan yang teruk di bahagian muka oleh ayahnya pada 4 Mei, kira-kira jam 4.50 petang.
Mangsa kemudian dihantar ke Hospital Queen Elizabeth (HQE2) bagi mendapatkan rawatan.
Mangsa kemudian disahkan meninggal dunia pada jam 10.30 malam Sabtu lalu, selepas dua hari dirawat di hospital.
Pendakwaan dikendalilan oleh Albert Basiri manakala tertuduh tidak diwakili peguam. – Info X