Search

Bayi 4 bulan melecur rumah terbakar

May 12, 2023

admin

PAPAR: Bayi lelaki berusia empat bulan melecur di kepala dan kaki dalam kebakaran sebuah rumah di Pekan Lama Kimanis, di sini, hari ini.

Mangsa Raid Syakif yang melecur dihantar ke Hospital Papar oleh keluarganya untuk rawatan lanjut.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 9.25 pagi.

Pasukan bomba memadam api dalam kebakaran di Pekan Lama Kimanis, Papar. – Foto Bomba

Katanya, seramai 15 pegawai dan anggota bersama dua jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kimanis dan Papar digerakkan ke tempat kejadian.

“Kebakaran membabitkan sebuah rumah jenis tidak kekal dua tingkat terbakar sepenuhnya.

“Operasi pemadaman satu aliran dan dua pancutan menggunakan sumber air dari jentera dan pili bomba,” dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, seorang mangsa bayi berusia empat bulan melecur di bahagian kepala dan kaki dilaporkan oleh penyelia operasi.

“Mangsa kemudian dihantar ke Hospital Papar oleh keluarganya sebelum ketibaan pasukan bomba di lokasi.

“Operasi terkawal jam 9.35 pagi dan tamat sepenuhnya pada 12 tengah hari,” katanya. – Info X