PAPAR: Tiga lelaki termasuk seorang remaja yang menjalankan kegiatan pecah rumah berjaya ditahan dalam beberapa siri serbuan sekitar daerah ini.
Ketua Polis Daerah Papar, Deputi Superintendan Kamaruddin Ambo Sakka berkata, kegiatan tiga penjenayah ini dikesan selepas pemilik rumah menyedari kediamannya dipecah masuk kira-kira jam 3 pagi 13 Oktober tahun lalu di Kampung Kelanahan Rimba di sini.
“Hasil siasatan mendapati isteri mangsa menyedari bahagian tingkap rumah serta pintu dalam keadaan terbuka semasa bagun untuk ke tandas.
“Mangsa kemudian menyedari telefon bimbit yang diletakkan di bahagian ruang tamu hilang selain tombol pintu rumah juga dirosakkan,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Katanya mangsa mengalami kerugian sebanyak RM900 akibat kejadian pecah rumah itu.
“Bertindak dengan maklumat tiga tangkapan berasingan berjaya dibuat kira-kira jam 12.42 pagi semalam di sekitar daerah ini hasil siasatan serta risikan berterusan daripada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Papar.
“Ketiga-tiga suspek yang ditahan adalah warga tempatan berumur 17 hingga 24 tahun yang berperanan sebagai pencuri dan penyimpan barangan curi,” katanya.
Tambahnya semasa penahanan suspek, polis juga berjaya merampas kembali sebuah telefon bimbit milik mangsa yang dilaporkan hilang sebelum ini.
“Kesemua suspek kini dalam tahanan reman dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.
“Orang ramai juga dinasihatkan untuk menyalurkan maklumat berkaitan jenayah kepada pihak polis di talian 088- 912 222 atau memaklumkan kepada balai polis berhampiran.
“Pastikan semua pintu dan tingkap rumah dalam keadaan berkunci dan berwaspada dengan barangan berharga di kediaman masing-masing,” katanya. – Info X