Search

3 beranak diikat penjenayah bertopeng, bersenjata

May 12, 2023

admin



TAWAU: Seorang lelaki bersama isteri dan anaknya mengalami detik cemas selepas kediaman mereka dipecah masuk tiga lelaki bertopeng dan bersenjata di Bandar Sri Indah, Batu 10, Jalan Apas, di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 3 pagi itu, mangsa berusia lingkungan 40 hingga 60 tahun diikat menggunakan wayar pengecas telefon bimbit.

Timbalan Ketua Polis Daerah Tawau, Superintendan Champin Piuh berkata, siasatan awal mendapati, tiga lelaki yang memakai topeng muka bersenjata memecah masuk rumah mangsa.

Katanya, mangsa bersama isteri dan anaknya diikat tangan menggunakan wayar pengecas telefon bimbit sebelum melarikan beberapa barang berharga milik mangsa.

Pintu besi dirosakkan tiga penjenayah bertopeng yang memecah masuk rumah mangsa.

“Barang-barang yang dilarikan suspek iaitu telefon bimbit, dua tablet, barang kemas dan wang tunai.

“Akibat kejadian itu, mangsa mengalami kerugian RM45,000,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, semua mangsa dalam kes ini tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Polis dalam usaha mengesan dan memburu suspek yang terbabit di dalam kes ini.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 395 397 Kanun keseksaan samun berkawan menggunakan senjata,” katanya. – Info X