KOTA KINABALU: Seorang lelaki cedera selepas dipercayai dipukul pemandu yang melanggar kereta miliknya di Batu 5, Jalan Tuaran dekat KK Tionghua Funeral Parlour, Kota Kinabalu, petang tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang itu, lelaki yang cedera di muka mendakwa dipukul oleh individu yang memandu kereta jenis Perodua Alza berwarna putih.
Mangsa turut mendakwa kenderaan pacuan empat roda yang dipandunya dilanggar di bahagian belakang oleh Perodua Alza.
Dakwanya lagi, pemandu terbabit kemudian keluar dari keretanya lalu menghampiri mangsa sebelum kedua-dua mereka berbincang.
Namun selepas itu, pemandu Perodua Alza dikatakan bertindak memukul mangsa.
Beberapa pengguna jalan raya yang melihat kejadian itu segera berhenti untuk membantu meleraikan namun pemandu Perodua Alza bertindak melarikan diri.
Beberapa rakannya kemudian datang lalu membawa mangsa membuat laporan polis.
Info X akan cuba mendapatkan maklumat lanjut dari pihak polis berhubung kejadian itu. – Info X