KOTA KINABALU: Bekas Pengarah Jabatan Air Negeri Sabah (JANS), Ag Mohd Tahir Mohd Talib, didapati bersalah oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 12 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah melebihi RM45 juta yang dikaitkan dengan kes berlaku kira-kira sedekad lalu.
Hakim Abu Bakar Manat membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah terhadap Ag Mohd Tahir, 63.
Bagaimanapun, mahkamah melepaskan dan membebaskan isterinya, Fauziah Piut, 61, daripada 19 pertuduhan pengubahan wang haram selepas pihak pembelaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah terhadap pertuduhan dihadapinya.
Turut dibebaskan ialah bekas Timbalan Pengarah JANS, Lim Lam Beng, 72, yang berdepan empat pertuduhan serupa.
Dalam perkembangan sama, mahkamah turut melepaskan Ag Mohd Tahir dan Fauziah daripada dua pertuduhan bersama berkaitan pengubahan wang haram.
Mengikut pertuduhan, kesalahan berkenaan didakwa dilakukan di beberapa lokasi sekitar Sabah dan Kuala Lumpur antara 4 Oktober hingga 4 November 2016 serta antara 13 Oktober hingga 8 November tahun sama.
Mereka didakwa mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUA) 2001.
Kes terbabit menjadi antara skandal rasuah paling mendapat perhatian di Sabah apabila siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 2016 membawa kepada rampasan wang tunai dan barangan berharga bernilai puluhan juta ringgit.
Ketika itu, gambar timbunan wang tunai yang ditemukan di dalam bilik dan bertaburan di lantai tular meluas di media tempatan sehingga mencetuskan perhatian besar masyarakat terhadap siasatan berkenaan.
Kes yang berlangsung hampir sedekad itu dianggap antara kes pengubahan wang haram terbesar di Sabah.
Perbicaraan bermula pada 7 Mei 2018 selepas melalui beberapa siri penangguhan, dengan pihak pendakwaan memanggil seramai 46 saksi di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Abu Bakar Manat.
Pihak pembelaan pula memanggil 15 saksi termasuk beberapa individu yang sebelum itu disenaraikan pihak pendakwaan, antaranya bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan dan bekas menteri, Datuk Raymond Tan Shu Kiah.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mahadi Jumaat, Haresh Prakash Somiah dan Zander Lim.
Ag Mohd Tahir dan Fauziah diwakili peguam Ansari Abdullah, Sharatha Masyaroh John Ridwan Lincon, Fadzidahtul Ardianah, Rasrina Patrick T Rining dan Noorsyazwani Sapri, manakala Lim Lam Beng diwakili Tan Hock Chuan, Baldev Singh dan Kelvin Wong.
Laporan lanjut menyusul…