KOTA KINABALU: Bekas Pengarah Jabatan Air Negeri Sabah (JANS), Ag Mohd Tahir Mohd Talib, dijatuhi hukuman penjara keseluruhan 96 tahun serta denda RM284.3 juta selepas didapati bersalah atas 12 pertuduhan pengubahan wang haram di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah, di sini, hari ini.
Hakim Abu Bakar Manat menjatuhkan hukuman penjara lapan tahun bagi setiap pertuduhan selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah terhadap tertuduh.
Bagaimanapun, mahkamah memerintahkan kesemua hukuman penjara itu berjalan serentak bermula dari tarikh sabitan, sekali gus menjadikan tempoh sebenar hukuman penjara yang perlu dijalani tertuduh adalah lapan tahun.
Selain hukuman penjara, mahkamah turut mengenakan denda keseluruhan RM284.3 juta terhadap Ag Mohd Tahir.
Sekiranya gagal melunaskan denda berkenaan, tertuduh berdepan tambahan hukuman penjara selama 78 bulan.
Dalam prosiding sama, mahkamah membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman penjara dan denda sementara menunggu rayuan difailkan di Mahkamah Tinggi.
Kes berprofil tinggi membabitkan Jabatan Air Sabah itu sebelum ini mendapat perhatian meluas susulan tempoh perbicaraan yang berlarutan hampir sedekad serta dikaitkan dengan antara rampasan terbesar pernah direkodkan dalam kes pengubahan wang haram di negeri ini. – Info X