Search

Bekas pengurus pemasaran dipenjara lima tahun, 24 sebatan

October 5, 2026

Info X Reporters

TAWAU: Seorang bekas pengurus pemasaran dihukum penjara lima tahun dan 24 sebatan selepas didapati bersalah atas 26 pertuduhan menipu syarikat sehingga mengalami kerugian lebih RM6.2 juta, tiga tahun lalu.

Majistret Don Stiwin Malanjum menjatuhkan hukuman terhadap Mok Chuang Leon, 38, selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang juga bapa tunggal kepada seorang anak lelaki berusia 10 tahun didakwa memperdaya seorang kerani syarikat tempatnya bekerja sehingga menyerahkan wang berjumlah RM6,212,266.84.

Perbuatan itu dilakukan dengan mengemukakan penyata jualan bulanan palsu berkaitan pembelian buah kelapa sawit yang dikeluarkan oleh Ample Agent Dan Sawit Borneo Sdn Bhd.

Kesalahan itu didakwa dilakukan antara Februari 2023 hingga Februari 2024 di sebuah premis di Pusat Komersial Perdana Square, Batu 3 1/2, Jalan Apas, di sini.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Wildan Firdaus Ahmad Fazly, manakala tertuduh diwakili peguam Jhesseny P Kang dan Chen Wen Jye.

Terdahulu, Jhesseny memohon penangguhan pelaksanaan hukuman sementara pihak pembelaan memfailkan rayuan di Mahkamah Tinggi.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara lima tahun bermula hari ini serta 24 sebatan.

Bagaimanapun, mahkamah membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan dengan jaminan RM26,000 dan dua penjamin tempatan.

Tertuduh turut diarahkan menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga proses rayuan selesai.-Info X