KINABATANGAN: Musibah kebakaran yang menimpa seorang kakitangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kinabatangan mendapat perhatian warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) daerah itu yang tampil menghulurkan bantuan bagi meringankan bebannya.
Ketua Polis Daerah Kinabatangan, Superintendan Janeve Sindih bersama warga IPD Kinabatangan hari ini mengadakan lawatan kebajikan terhadap Norsiah Saujar di Kampung Usaha Jaya, Batu 3, Jalan Bukit Garam, di sini.
Norsiah yang bertugas sebagai pegawai awam di Bahagian Pengurusan IPD Kinabatangan ditimpa musibah apabila rumahnya terbabit dalam kebakaran pada 3 Oktober lalu.

Dalam kunjungan berkenaan, Janeve turut menyampaikan sumbangan derma ikhlas yang dikumpulkan warga IPD Kinabatangan selain bakul makanan kepada Norsiah dan keluarganya.
Sumbangan itu diharap dapat membantu meringankan beban keluarga berkenaan dalam menghadapi kesukaran susulan kejadian terbabit.

IPD Kinabatangan dalam kenyataan memaklumkan, lawatan berkenaan mencerminkan keprihatinan dan semangat kebersamaan warga PDRM terhadap kebajikan kakitangan serta keluarga mereka, terutama ketika ditimpa musibah.
Menurutnya, kebajikan warga kerja akan terus diberi perhatian dan pihaknya berharap keluarga terbabit diberikan kekuatan serta dipermudahkan segala urusan untuk bangkit selepas kejadian itu. – Info X