Search

Belanjawan 2027 bantu pembangunan pelancongan, sokong persiapan Visit Sabah 2027

October 9, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin menyambut baik pembentangan Belanjawan 2027 yang memberi penekanan kepada pembangunan Sabah, pengukuhan sektor pelancongan serta peningkatan kesalinghubungan antarabangsa.

Beliau berkata, peruntukan Persekutuan sebanyak RM18.7 bilion kepada Sabah, meningkat daripada RM17.6 bilion tahun ini, mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Persekutuan dalam memperkukuh pembangunan negeri.

Katanya, peruntukan RM935 juta bagi sektor pelancongan dan kebudayaan di peringkat nasional turut memberi ruang kepada Sabah untuk memperkukuh promosi destinasi, pembangunan produk pelancongan dan pemeliharaan warisan budaya menjelang Visit Sabah 2027.

“Sabah menyambut baik penekanan yang diberikan kepada sektor pelancongan, khususnya usaha meningkatkan kemudahan, memperkukuh promosi serta memperluas jaringan penerbangan antarabangsa.

“Langkah ini selari dengan usaha kita untuk meningkatkan ketibaan pelancong, menggalakkan tempoh penginapan lebih panjang dan memastikan manfaat ekonomi pelancongan dapat dinikmati oleh lebih ramai rakyat Sabah,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Jafry turut menyifatkan pengumuman geran padanan bagi penerbangan antarabangsa dan penerbangan sewa khas sebagai langkah strategik yang berpotensi memperkukuh hubungan udara Sabah dengan pasaran utama, termasuk China, India, Asia Tengah dan Eropah.

Beliau berkata, kesalinghubungan udara yang lebih baik amat penting bagi meningkatkan daya saing Sabah sebagai destinasi antarabangsa, di samping membuka peluang kepada industri pelancongan tempatan.

Dalam aspek pemuliharaan, beliau turut mengalu-alukan perhatian terhadap Lembah Danum yang dikenal pasti antara tapak warisan berpotensi untuk penambahbaikan kemudahan dan pengiktirafan UNESCO.

“Pembangunan pelancongan dan pemuliharaan alam sekitar mesti bergerak seiring. Khazanah biodiversiti Sabah merupakan aset yang tidak ternilai dan perlu terus dilindungi melalui pendekatan pembangunan yang bertanggungjawab,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa peningkatan jaringan jalan raya dan kemudahan asas amat penting bagi memperluas akses ke destinasi pelancongan luar bandar serta merancakkan aktiviti ekonomi komuniti setempat.

“Keutamaan kita bukan sekadar membawa lebih ramai pelancong ke Sabah, tetapi memastikan mereka meneroka lebih banyak destinasi, tinggal lebih lama dan memberi manfaat langsung kepada masyarakat tempatan.

“KePKAS akan terus bekerjasama rapat dengan kementerian dan agensi Persekutuan bagi memanfaatkan inisiatif Belanjawan 2027 untuk memperkukuh kedudukan Sabah sebagai destinasi pelancongan antarabangsa yang berdaya saing dan mampan,” katanya. – Info X