Search

Enam rumah terbakar di Taman Jumbo, tiga musnah 80 peratus

October 9, 2026

Info X Reporters

PUTATAN: Enam rumah teres satu tingkat di Taman Jumbo, Petagas, di sini, terbakar dengan tiga daripadanya musnah 80 peratus dalam kejadian petang tadi.

Kebakaran jam 5.50 petang itu turut menyebabkan dua rumah mengalami kemusnahan masing-masing 70 dan 30 peratus, manakala sebuah lagi terbakar 20 peratus.

Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan dalam kejadian berkenaan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Putatan, Musran Jabri berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 5.55 petang sebelum sepasukan anggota digerakkan ke lokasi kejadian.

Katanya, pasukan bomba tiba di lokasi lima minit kemudian dan mendapati kebakaran membabitkan beberapa rumah kediaman.

“Pemeriksaan mendapati kebakaran membabitkan enam rumah jenis kekal yang masing-masing berkeluasan kira-kira 39 meter persegi.

“Tiga rumah mengalami kemusnahan 80 peratus, manakala tiga lagi masing-masing terbakar 70, 30 dan 20 peratus,” katanya dalam kenyataan, malam ini.

Musran berkata, seramai 36 anggota dan pegawai dari BBP Putatan, Kota Kinabalu serta Penampang terbabit dalam operasi pemadaman.

Katanya, operasi pemadaman menggunakan dua aliran sepanjang kira-kira 61 meter dengan empat pancutan air yang diperoleh daripada pili bomba berhampiran.

“Pihak Sabah Electricity turut memutuskan bekalan elektrik di Taman Jumbo dan kawasan sekitarnya bagi memastikan keselamatan sepanjang operasi dijalankan.

“Kebakaran berjaya dikawal pada jam 6.43 petang sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 10.17 malam selepas memastikan tiada lagi bahaya di lokasi,” katanya.

Beliau berkata, operasi turut dibantu Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Sabah Electricity.

Punca kebakaran serta jumlah kerugian masih belum diketahui. – Info X