PENAMPANG: Seorang wanita berusia 21 tahun berjaya dipujuk pasukan bomba dan polis selepas tindakannya berada di tingkat tiga sebuah bangunan di Donggongon, di sini, mencetuskan detik cemas awal pagi tadi.
Kejadian kira-kira jam 4.30 pagi itu menyebabkan lima anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penampang dikejarkan ke lokasi bagi menjalankan operasi menyelamat.
Ketua BBP Penampang, Zeno Tingalan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 4.33 pagi sebelum pasukan tiba di lokasi dua minit kemudian.
Katanya, sebaik tiba, anggota bomba mendapati wanita berkenaan berada di tingkat tiga bangunan terbabit.
“Pasukan bomba bersama anggota polis kemudian berusaha memujuk wanita berkenaan supaya kembali ke tempat selamat.
“Wanita itu akhirnya berjaya dipujuk sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Zeno berkata, operasi yang berlangsung lebih sejam itu tamat pada jam 5.55 pagi selepas keadaan di lokasi dipastikan selamat. – Info X