KOTA KINABALU: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud, berkata Belanjawan 2027 meletakkan pemerkasaan modal insan Sabah dan Sarawak sebagai salah satu agenda utama.
Beliau berkata, antara pengumuman Perdana Menteri yang dilihat kritikal dalam memperkasa modal insan Sabah dan Sarawak adalah melalui penggandaan tawaran tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) kepada 4,200 anak kelahiran kedua-dua negeri setiap tahun.
Langkah itu, katanya bakal membuka peluang yang lebih luas kepada anak-anak Borneo untuk melanjutkan pengajian khususnya dalam bidang kritikal yang boleh memacu pembangunan sosio ekonomi di wilayah ini.
Dalam aspek prasarana pendidikan, beliau berkata hampir RM1.3 bilion diperuntukkan bagi menaik taraf 682 sekolah daif di seluruh negara, dengan tumpuan khusus kepada Sabah dan Sarawak.
“Peruntukan penyelenggaraan dan pembaikan semua jenis sekolah turut digandakan daripada RM1 bilion kepada RM2 bilion, di samping pembinaan kemudahan baharu termasuk bangunan prasekolah di SK Bulu Silou, Keningau.
“Dari sudut kebajikan pelajar, peningkatan Bantuan Awal Persekolahan daripada RM150 kepada RM200 setiap murid, peruntukan RM870 juta bagi Rancangan Makanan Tambahan (RMT) serta pemberian elaun sara hidup RM2,500 kepada 90,000 pelajar Tingkatan 6 merupakan antara langkah yang dapat membantu meringankan beban keluarga kurang berkemampuan di Sabah dan Sarawak,” katanya dalam satu kenyataan.
Katanya, pada Jumaat Perdana Menteri turut mengumumkan peningkatan bantuan tiket penerbangan FlySiswa MADANI daripada RM400 kepada RM500 yang disifatkan amat relevan kepada mahasiswa Sabah dan Sarawak yang melanjutkan pengajian di luar negeri masing-masing.
Pada masa yang sama, katanya peruntukan RM800 juta bagi menaik taraf prasarana IPT serta peluasan Dapur Siswa MADANI akan membantu memperkukuh persekitaran pembelajaran dan kebajikan mahasiswa.
“Saya turut menyambut baik empat penambahbaikan pembayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang dijangka memberi manfaat kepada lebih 400,000 peminjam. Usaha ini memberikan kelegaan kewangan khususnya bagi mereka yang bekerja di Borneo Malaysia dimana pekerjaan bernilai tinggi masih lagi terhad.
“Penambahbaikan tersebut adalah penangguhan bayaran balik kepada peminjam berpendapatan sehingga RM2,500 sebulan bagi tahun 2027. Bayaran balik minimum hanya RM50 sebulan kepada peminjam berpendapatan antara RM2,500 hingga RM3,000 sebulan.
“Diskaun 10 peratus kepada peminjam yang tidak mempunyai tunggakan dan membuat bayaran balik secara teratur dan potongan cukai kepada majikan yang membantu membayar balik pinjaman PTPTN pekerja bagi pembayaran yang dibuat mulai 1 Januari 2027 hingga 31 Disember 2028,” katanya.
Selain itu, katanya anak muda Sabah dan Sarawak berpeluang menguasai bidang TVET menerusi peruntukan latihan bernilai RM8 bilion serta RM500 juta pembiayaan Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) .
Bagi menguasai kemahiran masa hadapan pula, katanya Belanjawan 2027 membuka akses kepada 100,000 langganan AI percuma dan lebih 16,000 kursus digital.
“Dalam usaha memastikan pendidikan yang lebih inklusif, peningkatan Elaun Murid Berkeperluan Pendidikan Khas daripada RM150 kepada RM200 sebulan, penambahan insentif kepada guru pendidikan khas serta pembukaan lebih banyak kelas Tabika Tunas Istimewa di kawasan desa juga merupakan perkembangan yang wajar diberikan perhatian.
“Setiap anak, tanpa mengira keadaan fizikal, keupayaan pembelajaran atau tempat tinggal, perlu diberikan peluang pendidikan yang sewajarnya,” katanya.
Ahli Parlimen Sepanggar itu berkata pembangunan modal insan di Sabah dan Sarawak perlu dimulakan dengan ekosistem pendidikan yang berkualiti.
Justeru itu, katanya kerjasama di antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri perlu terus diperkukuh bagi melahirkan lebih ramai tenaga kerja profesional dan kompeten sesuai keperluan semasa industri.
“Belanjawan 2027 yang telah dibentang oleh YAB Perdana Menteri dilihat mampu menjadi pemangkin utama dalam memastikan usaha ini dapat dijayakan,” katanya. – Info X