Search

Belanjawan 2027 bukti komitmen kerajaan perkasa pembangunan pedalaman Sabah – Arthur

October 10, 2026

BERNAMA

cdc

KOTA KINABALU: Belanjawan 2027 mencerminkan komitmen Kerajaan Persekutuan dalam memastikan agenda pembangunan infrastruktur dan sosioekonomi di kawasan pedalaman Sabah terus diberi keutamaan, kata Ahli Parlimen Pensiangan Datuk Seri Arthur Joseph Kurup.

Beliau yang juga Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam berkata komitmen itu turut dapat dilihat menerusi peruntukan Persekutuan terbesar RM18.7 bilion kepada Sabah, peningkatan Pemberian Khas interim kepada RM1.5 bilion tahun ini serta langkah mempercepat penyelesaian isu di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Katanya, sebagai wakil rakyat kawasan pedalaman, beliau juga mahu keutamaan diberikan terhadap pembangunan jaringan perhubungan dan prasarana asas yang merupakan perkara terpenting rakyat di kawasan itu.

“Justeru peruntukan RM3.3 bilion bagi projek jalan raya di Sabah dan Sarawak, terutamanya sasaran penyiapan Sarawak-Sabah Link Road 1 serta Pan Borneo Sabah Fasa 1B menjelang penghujung tahun depan, bakal memberikan impak sangat besar kepada pergerakan rakyat dan kegiatan ekonomi setempat.

“Peruntukan penyelenggaraan jalan Persekutuan bernilai RM350 juta khas untuk kontraktor tempatan kelas G1 hingga G4 di Sabah dan Sarawak bukan sahaja akan mempercepat pembaikan jalan awam malah menyokong usahawan berskala kecil,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sook dalam kenyataan hari ini.

Arthur berkata kerajaan juga komited mengurangkan kos sara hidup penduduk luar bandar menerusi peluasan program pengedaran barangan asas ke lokasi baharu seperti Kampung Terian di Penampang dan Kampung Sarawak bagi memastikan barangan harian kekal pada harga berpatutan.

Katanya, kecekapan perkhidmatan keselamatan dan pentadbiran di pedalaman turut diperkasakan melalui pembinaan Pejabat Imigresen baharu di Keningau, kemudahan kuarters Depot Tahanan Imigresen Papar serta inisiatif menstabilkan bekalan elektrik menerusi pelaksanaan Sistem Statcom dan Talian Penghantaran Southern Link.

Beliau berkata pelantikan wakil tetap Sabah dalam Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) berserta penyerahan kuasa kawal selia gas dengan pembiayaan RM600 juta amat bermakna dalam memperkukuh ekonomi negeri.

Menyentuh aspek modal insan, beliau menyambut baik keputusan menambah bilangan tawaran tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) kepada 4,200 anak kelahiran Borneo setiap tahun serta penyediaan dana hampir RM1.3 bilion untuk menaik taraf sekolah daif di Sabah dan Sarawak.

Inisiatif menyokong usahawan kecil menerusi penambahbaikan pusat penjaja di Arena Niaga Kunak dan Hentian Telupid, penganjuran Tamu Desa, serta peluasan insentif pembajakan RM300 sehektar kepada pesawah tempatan diyakini mampu menyuntik semangat baharu kepada ekonomi komuniti.

Beliau menyeru seluruh kepimpinan dan rakyat Sabah agar bersama-sama menjayakan pelaksanaan setiap inisiatif belanjawan berkenaan bagi memastikan tiada wilayah atau penduduk terpinggir daripada arus pembangunan nasional.–BERNAMA