Search

Warga media Sabah, Semenanjung berentap di meja pool, papan dart

October 10, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Kesibukan memburu berita bakal bertukar menjadi aksi memburu kemenangan apabila pengamal media Sabah dan Semenanjung berentap dalam Kejohanan Persahabatan Pool dan Dart di JPool Damai, di sini, pada 24 Oktober ini.

Kejohanan julung kali anjuran Kelab Rekreasi Media dan Komunikasi Kota Kinabalu (MedComm KK) itu turut menyaksikan penyertaan Kelab Akhbar Kebangsaan (NPC), Lembaga Pelancongan Sabah (STB) dan Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS).

Pengerusi MedComm KK, Christopher Bernard Maskilone berkata, kejohanan sehari itu bukan sekadar medan memburu kemenangan, sebaliknya menjadi platform mengeratkan hubungan persahabatan dan semangat kesukanan dalam kalangan peserta.

Katanya, penganjuran kejohanan berkenaan juga memberi peluang kepada pengamal media dan komunikasi untuk berehat seketika daripada kesibukan tugasan harian menerusi aktiviti sukan yang santai.

“Kita bukan sekadar mahu mencari pemenang, tetapi lebih penting untuk mengeratkan hubungan persahabatan, memupuk semangat kesukanan dan menikmati suasana pertandingan yang menyeronokkan.

“Walaupun masing-masing sibuk dengan tugasan harian, kejohanan ini memberi ruang untuk kita berkumpul dan berinteraksi dalam suasana lebih santai,” katanya.

Christopher berkata, kejohanan itu turut menjadi platform memperkukuh hubungan antara pengamal media dan komunikasi dari Sabah serta Semenanjung, selain merapatkan kerjasama dengan agensi kerajaan negeri.

Menurutnya, penganjuran aktiviti sukan seumpama itu juga mampu menggalakkan gaya hidup aktif dan sihat dalam kalangan ahli MedComm KK.

“Dalam dunia komunikasi, teknologi dan maklumat yang bergerak pantas hari ini, kita tidak boleh bekerja secara bersendirian tanpa kerjasama pihak lain.

“Program seperti ini penting kerana membuka ruang untuk bertukar pandangan, berkongsi maklumat dan idea mengenai isu semasa, selain mengukuhkan jaringan kerjasama antara semua pihak,” katanya.

Beliau berharap kejohanan persahabatan itu menjadi titik permulaan kepada penganjuran lebih banyak aktiviti sukan dan rekreasi yang membabitkan pengamal media serta agensi berkaitan pada masa depan. – Info X