Search

Beluran raih emas sepak takraw berpasukan wanita, pasukan lelaki raih perak

December 18, 2023

Willie Jude

TUARAN: Pingat emas bagi acara Sepak Takraw berpasukan wanita berjaya diraih pasukan Beluran selepas menewaskan Papar 2-0 dalam aksi final di Dewan Sri Sulaman, di sini, pagi tadi.

Bagaimanapun, pasukan Beluran sekadar berpuas hati dengan pingat Perak bagi kategori berpasukan lelaki selepas mereka tewas kepada Tenom dengan keputusan 1-2.

Sementara itu, pasukan Tawau dan Tuaran pula berjaya meraih pingat gangsa bersama bagi acara berpasukan wanita manakala pasukan Papar dan Tawau meraih pingat gangsa bersama bagi acara berpasukan.

Dalam pada itu, bagi acara berbasikal ujian masa perseorangan lelaki yang diadakan semalam menyaksikan Tawau yang diwakili Mohd Zahir Zahari berjaya meraih pingat emas; Muhamad Shukrie Rodia (Kota Kinabalu); dan Muhammad Alfadz Fiqri Abdul Bayan (Gangsa).

Bagi ujian masa perseorangan wanita yang turut diadakan semalam menyaksikan Nurwahidah Ozri mewakili Tawau berjaya meraih pingat emas; Drevionna Magdelynna Davin (Perak) dan Jacquelyn Jimmy (Penampang).

Sementara itu bagi ujian masa berpasukan Lelaki, pingat emas bagi acara berkenaan telah dimenangi pasukan mewakili Kota Kinabalu ; Tawau (Perak) dan Beaufort (Gangsa).

Pada hari ini, bagi acara 200 meter pecut akhir kategori Lelaki, pingat emas berjaya dimenangi Akmal Thaqif Begurdy yang mewakili Tawau dan perak dimenangi Jun Lee mewakili Kota Marudu.

Manakala gangsa bagi acara sama dimenangi Muhammad Aiman Zakwan (Beaufort) dan Muhammad Nur Irfan Roslan (Kota Belud).

Bagi kategori wanita 200 meter pecut, peserta mewakili Ranau Drevionna Magdelynna Davin berjaya meraih pingat emas dan Nur Dini Nazifa Ag Ali yang mewakili Membakut meraih pingat perak.

Pingat gangsa berjaya dimenangi Evlighta Willborn (Tuaran) dan Haziqah Adriana Milin yang mewakili Beaufort. – Info X