Search

Selepas 48 jam lolos, ‘Spidey Nazri’ akhirnya diberkas

December 18, 2023

Junaidi Ladjana

KOTA KINABALU: Tahanan polis yang diburu selepas melarikan diri dari Lokap Berpusat Kepayan, di sini, Sabtu lalu, berjaya ditahan semula, hari ini.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Shahurinain Jais berkata, suspek berusia 33 tahun itu berjaya diberkas semula pada jam 11.50 pagi selepas 48 jam melarikan diri.

Katanya, suspek berjaya dikesan bersembunyi di sebuah pondok usang di kawasan hutan simpan berhampiran Mimpian Jadi Resort, Tuaran.

Tahanan lolos dari Lokap Berpusat Kepayan, Sabtu lalu, Nazri Hassan, 33, dikawal ketat oleh sepasukan anggota polis setibanya di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kota Kinabalu.

“PDRM Sabah merakamkan ucapan jutaan terima kasih atas kerjasama dan maklumat yang disalurkan oleh orang awam sehingga suspek berjaya diberkas.

“Suspek sudah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu pada jam 4 petang tadi untuk tindakan selanjutnya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Pondok tempat suspek bersembunyi di Tuaran.

Terdahulu dalam kejadian jam 12.30 tengah hari Sabtu lalu, tahanan polis Nazri Hassan, melarikan diri ketika diiring oleh anggota petugas lokap ke bilik siasatan untuk tujuan soal siasat.

Suspek dilihat memanjat pintu jeriji lokap melalui tingkap di ruang senaman untuk keluar dari bangunan lokap.

Suspek turut dikatakan memanjat pagar luar lokap sebelum berjaya menghilangkan diri di kawasan belukar walaupun petugas lokap cuba mengejarnya.

Suspek diberkas sepasukan polis dalam serbuan di sebuah pondok usang di Tuaran.

Ketika melarikan diri, suspek yang direman bermula 10 hingga 18 Disember untuk siasatan mengikut Seksyen 431 A Kanun Keseksaan masih berpakaian lokap berwarna ungu.

Sebelum ini, tahanan terbabit turut digelar Spidey Nazri selepas rakaman kamera litar tertutup kejadian berkenaan tular di media sosial. – Info X