Search

Beri taklimat dulu kepada pelancong, elak insiden tidak senonoh berlaku – Polis Sabah

October 20, 2023

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Syarikat pengusaha dan agen pelancongan dinasihatkan supaya memberi taklimat terlebih dahulu kepada setiap pelancong yang masuk ke negeri ini.

Ia bagi mengelakkan berlakunya sebarang kejadian tidak diingini termasuk perbuatan pelancong yang melanggar tatasusila yang diamalkan di negara ini temasuk perihal pemakaian.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jauteh Dikun berkata, tanggungjawab ini perlu diambil perhatian bagi mengelakkan berlakunya insiden yang kelakuan tidak senonoh yang tular di media sosial.

Katanya, berdasarkan insiden sebelum ini, wanita yang dipercayai pelancong luar berkelakuan tidak senonoh dengan menunjukkan beberapa bahagian badan serta berpakaian separuh bogel di tempat awam di sini.

“Oleh itu saya nasihatkan agen serta pengusaha pelancongan agar memberikan taklimat kepada pelancong berkenaan beberapa tatasusila yang diamalkan di negara kita termasuk perihal pemakaian.

“Taklimat itu juga merangkumi pematuhan budaya dan penerangan berkenaan cara berpakaian yang kurang sesuai dipakai apabila mengunjungi negara kita,” katanya semasa sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah di sini, hari ini.

Jauteh (tengah) ketika sidang media di IPK Sabah.

Jauteh berkata, mana-mana pelancong luat yang didapati melakukan kesalahan ini boleh disiasat mengikut Seksyen 294 (a) Kanun Keseksaan.

Katanya, mereka boleh dikenakan hukuman penjara maksimum tiga bulan atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

“Dalam pada itu, sekiranya berlaku kejadian seumpama, kita juga akan menahan agen atau pengusaha pelancongan yang membawa pelancong itu masuk ke sini.

“Tanggungjawab ini juga terletak pada pengusaha pelancongan itu dan pihak polis akan melaksanakan rakaman percakapan bagi memastikan sama ada pengusaha pelancongan ini mematuhi saranan yang diberikan pihak polis atau sebaliknya,” katanya.

Terdahulu, tular empat keping gambar wanita berkelakuan tidak senonoh di tempat awam di sekitar Jalan Gaya, di sini, dengan menunjukkan payudara punggung serta berpakaian dalam di kawasan terbuka. – Info X