TAWAU: Selepas kejadian lelaki hilang dibaham buaya, di Lahad Datu, baru-baru ini, seorang lagi lelaki menjadi mangsa serangan reptilia berkenaan di Sungai Burung Kampung Mas-Mas, di sini, semalam.
Mangsa dikenali sebagai Asdar dipercayai dibaham buaya ketika melakukan aktiviti memancing di tebing sungai berkenaan.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 12.17 tengah malam.
Katanya, sepasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau digerakkan ke lokasi kejadian.
“Menurut saksi yang juga rakannya, mangsa dipercayai dibaham buaya ketika menjalankan aktiviti memancing di tebing sungai.
“Operasi pencarian telah dilakukan oleh orang kampung namun faktor keadaan yang gelap menyukarkan pencarian,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, tindakan pasukan bomba bergegas ke Balai Polis Sri Indah untuk mendapatkan maklumat lanjut.
“Hasil perbincangan bersama pihak polis, operasi mencari dan menyelamat (SAR) ditangguhkan pada 1 pagi dan disambung jam 10 pagi tadi.
“Operasi dimulakan dengan radius pencarian dua kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan hilang menggunakan bot penyelamat menyusuri sungai,” katanya.
Bagaimanapun katanya, mangsa masih belum ditemui dan operasi SAR ditangguhkan pada 6 petang tadi.
“Operasi SAR akan disambung pada esok pagi dan maklumat akan dikemaskini dari semasa ke semasa,” katanya.
Sementara itu, kes serangan buaya di Lahad Datu pada 15 Oktober lalu, operasi SAR yang memasuki hari kelima ditamatkan sepenuhnya.
Katanya, mangsa Salim Sakka, 50, dibaham buaya ketika melakukan aktiviti memukat ikan di Sungai Silabukan, Lahad Datu.
“Operasi telah ditamatkan sepenuhnya pada 3.23 petang tadi atas arahan dari pihak polis dan akan disambung semula jika terdapat bukti baru,” katanya. – Info X