Search

BERSATU TETAP KUKUH TANPA ZURAIDAH

June 5, 2022

admin

KOTA KINABALU: Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan menegaskan tindakan bekas Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin keluar Bersatu dan menyokong Parti Bangsa Malaysia (PBM) dilihat tidak memberi kelompong terhadap parti itu.

Wan Saiful berpendapat kedudukan Bersatu dalam liga politik ketika ini masih sama dan tidak terjejas malahan yakin Bersatu semakin kuat mengukuhkan pengaruhnya.

“Saya rasa ini tidak menyebabkan kelompongan kerana sebenarnya dari segi penglibatan Datuk Zuraidah sendiri, beliau difahamkan sudah banyak kali tidak menghadiri mesyuarat majlis pimpinan tertinggi.

“Oleh itu, kita rasa ini adalah suatu perkara yang tidak mahu ia berlaku tapi ia sudah berlaku.

“Kita tidak terjejas dengan keluarnya beliau daripada Bersatu dan yakin bahawa Bersatu ini semakin lama semakin kuat.

“Di Sabah pun kita boleh lihat bahawa pengaruh Bersatu semakin berkembang,” katanya ketika ditemui media sempena Program Jelajah Ketua Penerangan Bersatu pada Sabtu.

Mengulas lanjut, Wan Saiful menyatakan hasrat Zuraidah untuk menubuhkan parti baharu sudah lama disuarakan dan difahamkan Ahli Parlimen Ampang terbabit pernah bertemu dengan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi menyuarakan perkara itu.

Bagaimanapun, Wan Saiful menyatakan keputusan diperingkat parti mengambil pandangan bahawa Bersatu sudah mempunyai sayap bersekutu di dalam parti selain memiliki bahagian-bahagian di seluruh negara.

“Kita juga ada sayap srikandi serta sayap armada selain jentera dan struktur yang cukup bagi memenuhi keperluan politik semasa.

“Apabila Datuk Zuraidah mengumumkan beliau menyokong Parti Bangsa Malaysia, maka gugurlah keahlian beliau daripada Bersatu,” katanya.

Sementara itu, ditanya mengenai namanya yang disebut-sebut antara calon yang bakal menggantikan tempat Zuraidah, Wan Saiful
enggan mengulas lanjut dan hanya menyerahkan segala keputusan kepada pucuk pimpinan tertinggi Bersatu. – Info X