Search

SARAWAK AKAN TERUS KEKAL DALAM PERSEKUTUAN MALAYSIA, IKRAR ABANG JO

June 6, 2022

admin

KOTA KINABALU: Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Openg, hari ini, berikrar, negeri itu akan terus kekal dalam Persekutuan Malaysia.

Ikrar berkenaan disuarakan beliau pada sambutan Ulang Tahun Keputeraan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah di Sarawak.

Katanya, Sultan Abdullah yang telah melakukan beberapa lawatan ke negeri ini tahun ini merupakan ketua negara yang amat prihatin terhadap rakyat Sarawak tanpa mengira kaum, agama dan fahaman politik mereka.

“Sebagai sebahagian daripada wilayah yang menubuh Malaysia, kita di Sarawak akan terus bersama dalam Malaysia dan membangun seperti termaktub dalam Perlembagaan dan Perjanjian Malaysia 1963,” katanya.

Abang Johari berkata, Sarawak mempunyai perancangan dan dasar mantap bagi memastikan keamanan, kemakmuran dan kemajuan dapat terus dikecapi.

Katanya, kerajaan Sarawak telah merancang pelbagai strategi termasuk Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 2030 (PCDS 2030) yang akan dilaksanakan bagi memastikan negeri ini terus membangun dan hasil ekonominya terus dapat diagih dengan menyeluruh kepada rakyat.

Beliau berkata, kerajaan Sarawak menyasarkan pertumbuhan ekonomi sebanyak enam hingga lapan peratus setahun seterusnya untuk meningkatkan pendapatan rakyat negeri ini menjelang tahun 2030.

“Sambutan ulang tahun kali ini merupakan acara tonggak pertama secara bersemuka diadakan susulan pandemik Covid-19 dan Sarawak akan menganjurkan lebih banyak lagi acara tonggak secara fizikal termasuk sambutan Hari Sarawak pada 22 Julai dan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos,” katanya.

Terdahulu Premier mewakili seluruh rakyat Sarawak mengucapkan setinggi tahniah dan selamat hari keputeraan kepada Yang di-Pertuan Agong dan berdoa semoga baginda dan Permaisuri Agong serta keluarga baginda sentiasa dilimpahi rahmat dan hidayah serta berada dalam keadaan sihat, sejahtera dan penuh kedaulatan. – Info X