Search

PELAN BAGI KUKUHKAN SEKURITI MAKANAN PERLU DIRANGKA, TITAH AGONG

June 6, 2022

admin

KOTA KINABALU: Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah bertitah, satu pelan jangka panjang harus dirangka bagi mengukuhkan sekuriti makanan dan menjamin kos sara hidup berada pada tahap yang bersesuaian.

Katanya, krisis sekuriti makanan perlu ditangani segera terutama dalam keadaan dunia yang menghadapi pelbagai kemelut dan kejutan ketika ini.

“Beta berharap agar kerajaan beta dan pemimpin di setiap lapisan menangani masalah kelangsungan hidup yang membelenggu segelintir rakyat, termasuklah kos sara hidup yang tinggi di samping peningkatan harga komoditi industri dan makanan.

“Usahlah wujud bibit pertikaian setiap kali negara berhadapan dengan masalah sekuriti makanan dan peningkatan kos sara hidup. Kita semua seharusnya fokus kepada membantu memulih kemaslahatan rakyat,” titahnya sempena sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi di Istana Negara hari ini.

Agong turut menasihatkan rakyat supaya memainkan peranan dengan menanam sikap berjimat cermat dan berbelanja secara berhemah, selain tidak membazir.

Dalam pada itu, baginda turut menyanjung tinggi inisiatif pengukuhan perlindungan sosial yang dilaksanakan oleh kerajaan, termasuk program Pembasmian Kemiskinan Tegar Keluarga Malaysia yang menyasarkan untuk menghapuskan miskin tegar menjelang 2025.

“Pemimpin adalah sandaran kepada harapan rakyat. Kebahagiaan dan kesusahan rakyat adalah cerminan diri yang wajib digalas oleh setiap pemimpin,” titahnya seperti dilaporkan Bernama. – Info X