Search

SERTAI PARTI TANPA KREDIBILITI, TINDAKAN RINA HANYA BERMOTIF WANG, KATA WARISAN KALABAKAN

June 6, 2022

admin

KOTA KINABALU : Warisan Bahagian Kalabakan menyifatkan keputusan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kukusan, Rina Jainal untuk keluar parti sebagai tidak berprinsip dan tindakan terdesak untuk manfaat kewangan.

Rina yang juga Ketua Wirawati Kalabakan, mengumumkan untuk meninggalkan Warisan yang diwakilinya di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kukusan dalam Pilihan Raya Negeri Sabah ke-16, pada September 2020 dan menyertai Parti Harapan Rakyat Sabah, semalam.

Setiausaha Bahagian Kalabakan, Ayuf Abd Rahman, berkata keputusan yang diambil Rina adalah tidak logik dan bermotifkan kepentingan kewangan semata-mata.

Ayuf

“Mengapa menyertai parti yang langsung tidak mempunyai kredibiliti? Parti Harapan Rakyat Sabah tidak mempunyai wakil rakyat dan apabila parti itu meletakkan calon pada Pilihan Raya Negeri Sabah 2020, ia bukan sahaja gagal memenangi sebarang kerusi, malah calonnya hilang wang deposit. Malah presidennya sendiri, Tan Sri Liew Yun Fah tewas!

“Parti itu hanyalah cengkerang
kosong. Mungkin ia boleh berbuat bising namun tidak lebih daripada itu. Apa yang boleh saya katakan ialah Parti Harapan Rakyat Sabah dieksploitasi oleh Ketua Badan Pimpinan Bersatu Sabah, Datuk Hajiji Noor, untuk menambah bilangan YB mereka.

“Rina merelakan dirinya dimanipulasi sebagai balasan untuk wang. Dia lupa bahawa kemenangannya di kerusi DUN Kukusan dengan majoriti tipis 10 undi telah dicapai hasil kerja keras Warisan Kalabakan yang berjuang habis-habisan untuk memastikan kemenangannya. Rakyat Kukusan mengundinya bukan kerana dirinya secara individu tetapi kerana parti yang diwakilinya.

“Kini Rina menjadi sebahagian daripada kluster yang sebelum ini pernah dikritiknya kerana gagal mentadbir negeri dengan baik dan gagal memberikan perkhidmatan kepada rakyat Sabah.

“Ini juga memperlihatkan langkah terdesak Hajiji untuk mengekalkan kedudukannya sebagai Ketua Menteri dan memastikan Bersatu terus relevan walaupun parti itu kini bergelut untuk meneruskan kelangsungan politiknya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ketua Penerangan Bahagian Kalabakan, Jumaad Abu Bakar berkata bahagian itu masih kukuh dan tindakan Rina itu gagal menarik sesiapa di bahagian itu untuk mengikuti jejak langkahnya. – Info X