Search

Bertempiaran lari tinggalkan rokok seludup bernilai RM76,252

July 6, 2023

Info X Reporters

TAWAU: Sekumpulan individu yang sedang leka memunggah rokok seludup di tepi pantai Batu 4, di sini, bertempiaran lari selepas diserbu Pasukan Polis Marin (PPM) Tawau, kelmarin.

Serbuan kira-kira jam 7 malam menerusi Op Kontraban itu merampas rokok pelbagai jenama disyaki tidak bercukai bernilai RM76,252.

Rokok seludup pelbagai jenama yang ditinggalkan oleh penyeludup di tepi pantai Batu 4, Tawau. – Foto/PPM

Menerusi operasi itu, Unit Risikan Marin yang dalam rondaan berjalan kaki di tepi pantai berkenaan terlihat beberapa individu sedang memunggah keluar sesuatu dari bot ke tepi pantai.

Ketika dihampiri, mereka melarikan diri meninggalkan barang-barang yang dipunggah.

Antara rokok seludup yang dirampas PPM Tawau di tepi pantai Batu 4, Tawau. – Foto/PPM

Pemeriksaan terhadap barangan yang ditinggalkan mendapati terdapat rokok pelbagai jenama disyaki tidak bercukai.

Komander PPM Wilayah Empat Sabah, Asisten Komisioner Ahmad Ariffin ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan semua rokok berkenaan dirampas.

Rokok disyaki tidak bercukai yang dirampas. – Foto/PPM

Katanya, nilai rampasan rokok dianggarkan berjumlah RM76,252.

“Semua barang kes diserahkan kepada Jabatan Kastam Cawangan Tawau untuk tindakan lanjut,” katanya. – Info X