KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pengurusan) Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Hisham Rusli berkata, kewajiban penggunaan sistem e-invois dalam kalangan syarikat masih dalam perbincangan.
Katanya, ia berikutan keadaan inisiatif itu sendiri yang masih baharu dan sebarang keputusan atau perkara berkaitan akan diumumkan selepas memperoleh mekanisma sesuai.
“Setiap pelaksanaan itu semestinya memang kita katakan wajib dan keperluan sama ada pemain industri atau syarikat untuk terlibat secara bersama.
“Perkara ini bagaimanapun sedang dalam perbincangan dan kita akan umumkan apabila masa itu sampai nanti,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa diajukan soalan adakah sesebuah syarikat wajib untuk menggunakan sistem e-invois pada sesi libat urus berkenaan e-invois bersama pengamal percukaian dan pemain industri di Sabah.
Turut hadir Pengarah HASiL Sabah Datuk Hajam Lajah Alam, Pengarah Jabatan Pungutan HASiL Marside@Marsidi Julika @Zelika, Pengarah Jabatan Operasi Cukai Shaharrudy Othman, Pengarah Jabatan Penyelidikan Strategik Dr. Gunasegaran Muthusamy.
Bercakap lanjut beliau berkata sesi libat urus yang diadakan di beberapa kawasan termasuk Penang, Lembah Klang, Sarawak serta Sabah penting bagi memperhalusi dan mendapatkan maklumat daripada syarikat terlibat.
“Kita mendapat banyak soalan daripada pihak syarikat yang akan diperhalusi selain dilihat membantu dalam melancarkan pelaksanaan e-invois yang akan bermula tahun hadapan.
“Komunikasi dua hala ini juga menunjukkan bentuk penerimaan serta maklum balas dalam pelaksanaan e-invois diperingkat awal ini kerana kita hendak memastikan apa yang dibangunkan itu nanti bersesuaian dengan keperluan daripada industri,” katanya.
Dalam pada itu Hisham berkata seramai hampir 150 syarikat di Sabah dikenal pasti mempunyai pendapatan melebihi RM100 juta yang disasarkan menjadi kumpulan pertama terlibat dalam pelaksanaan e-invois yang dijangka bermula 1 Jun tahun hadapan.
E-invois ialah inisiatif untuk memacu agenda digitalisasi negara sejajar Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDigital) dan salah satu program di bawah Pelan Hala Tuju Strategik e-Dagang (NESR) 2.0.
Pelaksanaan ini sejajar dengan perkembangan arus revolusi digital yang pesat, dengan gaya perniagaan kini yang memerlukan cara lebih mudah untuk membuat pertukaran maklumat dan transaksi perdagangan di peringkat domestik mahupun global.
Inisiatif ini melihat kepada keperluan perniagaan untuk bertukar maklumat dan transaksi perdagangan di peringkat global dan invois elektronik yang merujuk kepada penghantaran invois daripada penjual kepada pembeli dalam format elektronik yang bersepadu.
Secara keseluruhannya sistem e-invois dapat membantu syarikat menjimatkan kos dari segi penyimpanan rekod dan pelaksanaan perniagaan. – Info X